Malaysia Gesa Pemberontak BRN Sertai Rundingan Damai Selatan Thailand

Komentar oleh Don Pathan
2018.12.06
Yala, Thailand
181206-TH-bomb-1000.jpg Pegawai-pegawai forensik Thailand sedang memeriksa lokasi serangan bom yang mencederakan berpuluh-puluh orang di pasar raya besar Big C di Patani, Selatan Thailand, 9 Mei 2017.
[AFP]

Pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Selatan Thailand terus didesak sejak kebelakangan ini supaya menyertai para perunding Thailand dalam perbincangan damai yang diusahakan Malaysia. Tetapi, para pemimpin pemberontak itu tetap dengan pendirian mereka dan menolak untuk berbuat demikian, walaupun ia kelak memberi kesan yang serius.

Fasilitator Malaysia yang baru dilantik bagi rundingan damai itu, Abdul Rahim Noor, telah memaklumkan kepada pihak Thailand bahawa beliau akan memberi kata dua kepada pemimpin BRN - supaya menyertai rundingan itu atau meninggalkan Malaysia, demikian menurut seorang pegawai kanan Thailand yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Kalangan pimpinan Malaysia merasakan bahawa BRN tidak lagi boleh memandang rendah terhadap Kuala Lumpur, kata pegawai keselamatan Thailand.

BRN adalah kumpulan pemberontak bersenjata paling besar yang melancarkan perng pemisah di selatan Thailand. Pemimpin tertingginya dipercayai bersembunyi di negara jiran, Malaysia.

Dikalangan pegawai keselamatan Thailand yang tegas berkata, strategi Abdul Rahim perlu diberikan peluang tetapi yang lain pula menyatakan bahawa tindakan memberi kata dua itu mungkin tidak memberi sebarang kesan. Sebaik-baiknya, pemimpin BRN perlu tampil ke meja rundingan secara sukarela.

Walaupun pasukan perundingan Thailand mahu berbincang dengan para pemimpin majlis kepimpinan BRN, mereka tidak akan menyokong mana-mana langkah tegas yang boleh memaksa pihak pimpinan itu beralih kepada gerakan bawah tanah.

Menurut seorang pegawai tentera kanan Thailand yang mengenali Abdul Rahim dan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad, ada kemungkinan besar bahawa kedua-dua pemimpin itu "akan mengambil langkah tegas untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan."

Setakat ini, masih belum jelas hala tuju para pemimpin BRN sekiranya mereka diarah keluar dari Malaysia. Ada yang berpendapat mereka mungkin ke Indonesia untuk menyertai ahli penting sayap pemuda pertubuhan itu, Abdulkarim Khalid, yang merupakan satu-satunya tokoh BRN yang bercakap secara umum.

Satu lagi pilihan mereka adalah untuk kembali ke negara asal mereka – selatan Thailand - dan beroperasi dari sana.

Apa pun pilihannya, mereka tidak akan berada dalam radar pihak berkuasa, yang menjadikannya lebih sukar untuk membina saluran komunikasi dengan mereka.

"Dari beberapa sudut, persimpangan berhubung perkara ini akan menjadi saat penentuan bagi pertubuhan itu," kata Artef Sohko, aktivis politik dari Selatan Thailand.

"Apakah mereka dapat terus bertahan dalam menghadapi tekanan Malaysia supaya tampil ke meja rundingan atau sedia untuk berkompromi, nampaknya ia belum ditentukan lagi," kata Artef.

Perbincangan semasa

Sumber-sumber BRN berkata, rundingan dengan pemimpin Thailand bukanlah perkara yang disenaraikan untuk dipertimbangkan, terutamanya jika ia perlu menyertai MARA Patani, sebuah kumpulan induk yang terdiri daripada beberapa gerakan pemisah yang tidak lagi mengawal  pemberontak di lapangan.

Menurut sumber BRN, mereka ingin memahami dengan lebih mendalam tentang norma-norma antarabangsa dan memperkukuhkan kapasitinya sebelum mempertimbangkan sama ada mahu menyertai para perunding Thailand di meja rundingan.

Pertubuhan itu melihat inisiatif damai yang dijalankan sebelum ini dan pada masa ini sebagai strategi licik untuk mengaburi mereka supaya tampil ke meja rundingan tanpa mengambil kira kebimbangan mereka dan keresahan Melayu Patani yang penuh bersejarah.

Apa yang menjadikannya lebih sukar bagi sebarang inisiatif damai adalah hakikatnya, semakin banyak pemimpin dan pejuang BRN melihat usaha mendapatkan kemerdekaan daripada Thailand sebagai suatu kewajipan moral.

Bagaimanapun, para pegawai Thailand sedang berusaha untuk menghubungi majlis pimpinan BRN. Para penggubal dasar di Bangkok berpendapat bahawa saluran komunikasi semasa melalui fasiliti Malaysia masih belum mencukupi dan kerajaan Thailand telah berusaha untuk mewujudkan saluran baru yang dapat menghubungkan mereka dengan para pemimpin BRN.

Sesetengah aktivis Melayu Patani telah pun dihubungi oleh kerajaan Thailand untuk bertindak sebagai perantara. Tetapi, individu berkenaan berkata, mereka bimbang dibunuh oleh mana-mana pihak atau orang yang mempunyai agenda berbeza.

Ulama Islam, Ustaz Waesumae Suden, yang ditembak mati di daerah Panare dalam wilayah Patani pada September 2014, dan pembunuhan Imam Abdullateh Todir, penduduk di daerah Yaha dalam wilayah Yala pada November 2012, sering disebut sebagai contoh tentang apa yang boleh terjadi kepada mereka yang terlalu terlibat dengan inisiatif damai di pedalaman selatan Thailand.

Sejak tiga tahun lalu, sebelum pelantikan Abdul Rahim, Ahmed Zamzamin Hashim merupakan individu yang bertindak sebagai perantara Malaysia bagi para pemimpin Thailand dan BRN - yang enggan menyertai MARA Patani di meja rundingan.

Pihak Thailand berpendapat Ahmed Zamzamin tidak banyak membantu dan sering menyebabkan mereka keliru dengan meletakkan harapan tinggi terhadap usaha itu.

Sebagai contoh, rakyat Thailand diminta untuk mempercayai bahawa pertemuan antara ketua perunding Thailand, Jen. Aksara Kerdpol, dan tokoh utama majlis pimpinan BRN, Doonloh Wae-mano (alias Abdullah Wan Mat Noor), sedang dalam perancangan.

Zamzamin juga memberitahu Bangkok bahawa para pemimpin BRN akan menghormati dan mematuhi Zon Keselamatan, iaitu projek perintis yang sepatutnya menjadi warisan pihak junta iaitu Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO).

Sumber BRN menekankan bahawa pemimpin mereka tidak pernah bersetuju dengan komitmen tersebut, dan mencadangkan bahawa mesej daripada Zamzamin kepada Bangkok mungkin gagal disampaikan dengan berkesan.

Pemimpin yang punyai rancangan

Jeneral Bersara Udomchai Thammasarorat, bekas komander Tentera Keempat yang menggantikan Aksara sebagai ketua perunding Thailand, telah menangguhkan inisiatif Zon Keselamatan berserta dengan tuntutan gencatan senjata. Beliau melihat percubaan itu sebagai gagal mencapat matlamanya dan merupakan beban yang ditinggalkan oleh era Zamzamin-Aksara.

Ketua perunding baru pun mempunyai rancangannya.

Kali ini, beliau ingin menekan BRN dengan menggunakan pertubuhan masyarakat setempat (CSO). Beliau mahu semua CSO Thailand yang berada di Selatan Tahiland supaya bersatu di bawah satu platform untuk berfungsi sebagai perantara antara kerajaan dan pemberontak BRN.

Ia adalah satu usaha berterusan memandangkan CSO tempatan selalunya berbalah berhubung inisiatif damai.

Malah, hampir setiap tokoh Thailand yang pernah mengunjungi Selatan Thailand, sama ada sebagai komander atau perunding, percaya bahawa dirinya mempunyai sesuatu yang lebih baik berbanding individu yang menyandang jawatan itu.

Tidak perlu diperkatakan lagi bahawa tidak ada satu pun daripada rancangan mereka yang berhasil kerana mereka tidak mahu melihat konflik dalam konteks generasi. Sebaliknya, matlamat mereka adalah untuk mencapai keamanan atau kejayaan besar seolah-olah mereka merancang untuk melaksanakan beberapa  projek mercu tanda atau projek pembinaan.

Idea untuk memastikan CSO dapat memainkan peranan sebagai ‘orang tengah’ masih dalam perancangan, kata sumber BRN. Ia adalah strategi jahat untuk mempengaruhi penduduk tempatan - iaitu CSO – supaya menentang gerakan BRN.

Tetapi, menurut para pejuang BRN, berdasarkan beberapa aspek, mereka adalah lebih dekat dengan rakyat berbanding CSO. Malah, rangkaian mereka adalah jauh lebih meluas berbanding CSO yang ada memandangkan mereka mempunyai sel-sel di hampir setiap daerah di Selatan Thailand.

Don Pathan ialah seorang perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.