Warganegara: Pindaan Perlembagaan Malaysia kekalkan langkah regresif
2024.10.25
Kuala Lumpur
Pada minggu lalu, Malaysia meluluskan pindaan perlembagaan yang membetulkan keadaan di mana berlaku diskriminasi jantina apabila anak-anak kepada ibu warga Malaysia yang dilahirkan di luar negara dinafikan hak kewarganegaraan.
Bapa warga Malaysia yang anak-anaknya dilahirkan di luar negara sentiasa mempunyai hak sedangkan si ibu dinafikan.
Kini anak-anak kepada sama ada ibu atau bapa warga Malaysia yang dilahirkan di luar negara mempunyai hak sama untuk menjadi warganegara.
Rang undang-undang itu digambarkan satu kejayaan untuk diraikan. Apatah lagi bagi golongan ibu, pindaan itu sekaligus memperbetulkan ketidakadilan yang telah sekian lama wujud.
Bagaimanapun, beberapa pindaan dan butiran dalam rang undang-undang yang diluluskan itu menetapkan sebaliknya.
Pentadbiran Anwar Ibrahim melengkapkan rang undang-undang itu dengan langkah-langkah yang boleh meningkatkan jumlah individu tiada kerakyatan.
Ia juga menjadikan diskriminasi jantina terus berlarutan dan dilihat boleh membahayakan kanak-kanak terutamanya dari masyarakat minoriti dan golongan rentan.
Pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan itu adalah yang paling regresif dalam sejarah Malaysia apabila ia menyekat keupayaan bagi menangani masalah yang serius membabitkan berjuta individu tanpa dokumen termasuk lebih 100,000 kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia.
Daripada memberikan taraf kewarganegaraan kepada lebih ramai orang, rang undang-undang baharu itu mencabut hak individu tersebut untuk mendapatkan taraf kerakyatan.
Langkah-langkah regresif
Pertama, peruntukan berkaitan anak-anak kepada ibu warga Malaysia yang dilahirkan di luar negara tidak akan berkuat kuasa secara retroaktif.
Ini akan menyebabkan ribuan kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia di luar negara sebelum rang undang-undang itu diluluskan tidak memperoleh perlindungan undang-undang bagi mendapat taraf warganegara Malaysia.
Aktivis yang memperjuangkan kesaksamaan undang-undang kewarganegaraan menjelaskan tentang rasa sedih keluarga yang terpaksa dipisahkan oleh ketidakupayaan untuk hidup bersama dan diskriminasi dihadapi oleh adik-beradik yang dilahirkan di luar negara yang telah dinafikan hak yang sama.
Selain itu, mereka juga dinafikan akses pendidikan, penjagaan kesihatan dan kemudahan awam lain.
Anak-anak kepada ibu warga Malaysia yang dilahirkan di luar negara juga telah menghadapi tekanan psikologi, dianggap tidak layak memperoleh kewarganegaraan dan disisihkan daripada masyarakat di negara ini. Keluarga dan anak-anak ini akan terus menderita.
Salah satu pindaan baharu juga menyasarkan wanita dengan mengembalikan diskriminasi jantina.
Melalui rang undang-undang baharu itu, kerajaan kini boleh membatalkan kewarganegaraan pasangan asing lelaki Malaysia jika perkahwinan mereka berakhir dalam tempoh dua tahun dari tarikh mendapat kewarganegaraan berbanding sebelum ini pelucutan dibuat dua tahun selepas perkahwinan.
Langkah itu meluaskan kuasa kerajaan Malaysia untuk mengawal status kerakyatan isteri warga asing.
Ini menyebabkan wanita yang menghadapi penderaan dalam perkahwinan dan anak-anak mereka terdedah kepada risiko pelbagai masalah dalam rumah tangga.
Wanita di Malaysia yang perkahwinannya penuh penderaan kurang mendapat sokongan daripada pihak berkuasa.
Kes M. Indira Gandhi yang mana anak perempuannya dilarikan oleh bekas suaminya pada 2009 merupakan salah satu daripada gambaran mengenai masalah itu.
Pihak berkuasa gagal mengeluarkan waran tangkap ke atas pihak bapa untuk mengembalikan anak perempuan mereka ke dalam penjagaan ibu walaupun beberapa perintah mahkamah termasuk keputusan penting oleh Mahkamah Persekutuan pada 2018.
Saman sivil difailkan terhadap polis yang didakwa bertindak secara berniat jahat dengan menyokong si suami telah ditolak pada Julai lalu. Wanita itu tidak dapat berjumpa dengan anak perempuannya selama lebih 15 tahun.
Terdapat kebimbangan bahawa pindaan kewarganegaraan baharu itu juga akan memberi pengaruh tambahan kepada lelaki pendera untuk menahan pasangan mereka.
Lebih memburukkan keadaan apabila pindaan itu menyukarkan kanak-kanak memohon kewarganegaraan dengan mengurangkan had umur untuk memohon kepada 18 tahun berbanding sebelum ini umur 21 tahun.
Memandangkan permohonan mengambil masa secara purata selama lima tahun untuk tujuan semakan, ia mengehadkan keupayaan kanak-kanak tersebut untuk menangani sebarang isu yang timbul dalam tempoh proses semakan.
Dari segi matlamatnya, jelas bahawa pindaan itu bertujuan untuk mengetatkan proses mendapat kewarganegaraan malah membuatkan ia menjadi lebih sukar.
Langkah paling dahsyat ini melibatkan penafian kewarganegaraan bagi anak-anak terbiar, anak yatim dan anak-anak pemastautin tetap yang dilahirkan di Malaysia.
Perubahan ini akan memberi kesan terutamanya kepada kanak-kanak dari komuniti Orang Asli, yang kekurangan dokumentasi kewarganegaraan yang sempurna, sekali gus menyaksikan endemik pengabaian masyarakat tersebut.
Minoriti lain seperti kaum berketurunan India dan komuniti etnik di Borneo menghadapi pengecualian yang sama.
Rang undang-undang yang bernada anti-minoriti ini sebenarnya telah menimbulkan keresahan yang besar.
Individu tanpa negara makin meningkat
Apa yang membimbangkan, pindaan ini menambah lagi masalah kepada individu tanpa kerakyataan yang sudah serius dan menjadikan penyelesaiannya semakin sukar.
Sebab utama langkah-langkah menafikan hak kewarganegaraan bagi anak-anak terbuang dan anak pemastautin tetap dimasukkan dalam perundangan berpunca daripada salah urus migrasi selama 40 tahun di negeri Sabah.
Dari 1980-an, pendatang dibawa masuk untuk meminggirkan pengaruh politik etnik minoriti tempatan dan bagi mengukuhkan kedudukan politik Kerajaan Persekutuan di bawah apa yang dipanggil 'projek IC', salah satu program paling hitam dalam tempoh perkhidmatan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.
Bukan sahaja projek IC mengubah demografi Sabah, malah ia juga meninggalkan legasi yang mengerikan.
Kini, dianggarkan lebih satu juta orang, termasuk hampir 100,000 kanak-kanak, tanpa dokumentasi yang lengkap hidup dalam kemiskinan yang terpencil dan dinafikan pendidikan dan penjagaan kesihatan awam.
Mereka terdedah kepada eksploitasi dan penderaan buruh yang lebih besar daripada kebanyakan orang lain kerana mereka cuba mencari kehidupan yang tidak menentu.
Dan dengan beberapa lapisan generasi dikecam kerana mengulangi kitaran ini, mereka turut menerima penghinaaan kerana menjalani kehidupan penuh dengan jenayah dan dipinggirkan.
Pada masa sama, individu tiada dokumen amat dibenci oleh masyarakat orang asal yang telah disisihkan dari segi politik. Mereka juga dimomokkan kerana dianggap menambah masalah keselamatan di sempadan Sabah.
Isu ini kekal membangkitkan emosi dalam kalangan rakyat Sabah.
Memasukkan peruntukan berkaitan kanak-kanak dalam pindaan tersebut sebenarnya sebagai satu bentuk kompromi dalam memastikan sokongan ahli politik yang mencukupi bagi membolehkan rang undang-undang itu diluluskan.
Namun malangnya, rang undang-undang itu menyasarkan bagi mengekalkan golongan tiada kerakyatan untuk generasi akan datang.
Daripada berusaha untuk membatalkan legasi hitam projek IC Mahathir di Sabah, undang-undang kewarganegaraan baharu Malaysia itu memperburuk masalah.
Selain menambah jumlah individu tiada dokumen dengan menyasarkan kanak-kanak, ia mewujudkan satu lagi generasi terpinggir yang akan merobek struktur masyarakat Sabah dan memudaratkan matlamat pembangunan mampan.
Apabila masyarakat sivil mula mendesak perubahan dalam undang-undang kewarganegaraan, tujuannya adalah untuk mengembangkan kewarganegaraan, terutamanya bagi kanak-kanak dan keluarga.
Namun langkah baharu Malaysia yang regresif itu tidak melaksanakan perkara itu.
Ramai dalam kalangan masyarakat sivil Malaysia berasa kecewa apabila rang undang-undang baharu itu dirampas untuk menyekat hak.
Rang undang-undang itu sepatutnya membuka peluang untuk membetulkan ketidakadilan. Sebaliknya, kerajaan Anwar Ibrahim telah meluaskan ketidakadilan itu.
Bridget Welsh merupakan seorang penyelidik bebas yang juga penyelidik bersekutu kehormat di Institut Penyelidikan Asia Universiti Nottingham Malaysia di Kuala Lumpur dan Felo Bersekutu Kanan Pusat Habibie.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan beliau sendiri dan tidak mencerminkan pendirian Universiti Nottingham Malaysia, Pusat Habibie atau BenarNews.