2017: Tahun Bergelora Bagi Keselamatan di Asia Tenggara

Komentar oleh Zachary Abuza
2017.12.27
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
171221-SEA-abuza-620.JPG Seorang tentera Filipina berdiri di tengah-tengah runtuhan bangunan di Marawi, 25 Okt, 2017.
(Jeoffrey Maitem/BeritaBenar)

Tahun 2017 menyaksikan landskap keselamatan kian meruncing di Asia Tenggara. Krisis yang berpanjangan akhirnya meletus dan menjadi konflik utama di Filipina dan Myanmar, manakala pemberontakan di selatan Thailand pula semakin parah.

Kegagalan Negara Islam mengekalkan penguasaannya di beberapa pusat populasi utama di Syria telah menghalang penyebaran luas propagandanya, namun, ia membangkitkan kebimbangan berhubung kepulangan para pejuang asing untuk mencetuskan pemberontakan di tanah air sendiri, selain meningkatkan kemungkinan berlakunya serangan secara bersendirian.

Walaupun sesetengah kerajaan berusaha meningkatkan aspek keselamatan mereka, tetapi kerajaan yang lain pula telah memburukkan lagi konflik, yang menyaksikan kelangsungan rejim dalam keselamatan negara.

Rohingya


Berita hangat yang tersebar di luar rantau itu adalah mengenai pembersihan etnik Rohingya oleh pasukan keselamatan Myanmar, yang membawa kepada krisis pelarian terbesar setelah sekian lama: sejak penghujung Ogos lalu, lebih 650,000 Rohingya telah melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh, di mana kira-kira 400,000 pelarian dari negeri Rakhine sudah pun mendapatkan perlindungan daripada kitaran keganasan terdahulu.

Dalam apa yang digambarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai "contoh buku teks tentang pembersihan etnik", pasukan keselamatan negara itu telah membunuh sekurang-kurangnya 6,700 orang awam, menurut tinjauan pelarian yang dijalankan Doktor Tanpa Sempadan (MSF). Angka itu adalah jauh berbeza daripada jumlah sebenarnya.

Lebih 250 kampung Rohingya telah dibakar. Jumlah pelarian Rohingya yang menjadi mangsa keganasan seksual menunjukkan satu dasar yang diselaraskan dengan menjadikan rogol sebagai senjata perang. Walaupun kerajaan Myanmar menafikan pasukan keselamatannya menyasarkan orang awam, beratus-ratus orang telah diberi rawatan akibat luka tembakan dan kecederaan lain. Ramai juga yang telah diseksa. Lain-lain pula dibunuh atau mengalami kecederaan daripada ledakan periuk api.

Pogrom atau penyiksaan dan penindasan berlaku akibat serangan berskala kecil terhadap polis dan pos-pos luar sempadan oleh Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA). Militan ARSA, yang tidak mempunyai banyak senjata dan sumber, memulakan operasi pada akhir 2016, dan melancarkan serangan yang diselaraskan terhadap 30 pos luar pada Ogos lalu.

Daripada beberapa sudut, ia merupakan rancangan yang sinis. ARSA, sebuah kumpulan ekstremis, tidak banyak menerima sokongan daripada komuniti Rohingya, yang hidup tanpa kerakyatan atau perlindungan undang-undang lain. ARSA jelas mengharapkan tindak balas kerajaan dapat membantu pemberontak menarik lebih ramai pengikut; tetapi ia tidak menjangka tindakan keras pihak pasukan keselamatan Myanmar, atau perlindungan politik dan diplomatik yang diberikan secara aktif oleh pemimpin kerajaan yang juga penerima hadiah Keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi.

Dengan al-Qaeda pantas mengeluarkan kenyataan yang meggesa supaya umat Islam supaya membela Rohingya, tidak ada bukti kukuh menunjukkan adanya kebanjiran pejuang asing dari Asia Tenggara atau Asia Selatan yang menyertai perjuangan Rohingya. ARSA, dalam pada itu, menyatakan bahawa ia tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana organisasi pengganas atau militan asing. Sebaliknya, ia menegaskan bahawa matlamatnya adalah mendapatkan kewarganegaraan untuk Rohingya, bukan pemisahan, mahupun jihad yang merentas sempadan.

Tetapi, nasib Rohingya tentunya menjadi faktor yang mendorong perjuangan para militan. Malah, seorang lelaki Bangladesh, yang menghadapi pertuduhan pengeboman bunuh diri yang gagal dilakukan di kota raya New York pada 11 Dis atas nama Negara Islam (IS), baru-baru ini kembali dari kem pelarian Kutupalong di tenggara Bangladesh, di mana beliau berkhidmat sebagai pekerja bantuan buat seketika.

Para pelarian Muslim Rohingya dari Myanmar beratur untuk menerima bantuan di kem pelarian Kutupalong di Ukhia, Bangladesh, 15 Nov, 2017. [AP]

Selatan Thailand


Dalam pada itu, pemberontakan pemisah Melayu di Selatan Thailand, yang kini memasuki tahun ke-14, pula mencatatkan berita baik. Keganasan dilaporkan berada pada tahap paling rendah dalam tempoh satu dekad. Dari segi sejarah, jumlah yang terbunuh dan cedera adalah rendah, dan begitu juga dengan insiden keganasan.

Namun, keganasan tetap berlaku dan meletus pada masa-masa tertentu bagi mengingatkan kerajaan bahawa pemberontakan belum lagi berakhir.

Penurunan kadar keganasan sebahagiannya adalah disebabkan oleh peralihan kepimpinan utama dalam kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) pada awal 2017, selepas dua pengasasnya meninggal dunia dalam tempoh 16 bulan sebelum itu. Sebahagian lagi disebabkan oleh rangkaian pusat pemeriksaan yang ketat di seluruh kawasan selatan, yang menyukarkan banyak serangan dilakukan. Selain itu, ia juga disebabkan oleh perubahan taktik.

Keganasan menurun kerana pemberontak melihat ia tidak perlu dilakukan. Mereka telah pun mendorong penganut Buddha untuk keluar dari kawasan selatan yang luas. Para pemberontak juga kini jarang menyasarkan orang awam di kawasan bandar. Hampir setiap IED diletakkan di jalan luar bandar untuk menyasarkan pasukan keselamatan. Dan pasukan keselamatan menjadi sasaran utama: pemberontak membunuh lebih 40 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 130 orang pada 2017.

Tetapi, walaupun penurunan kadar keganasan dilihat positif, ia sebaliknya menunjukkan kelemahan: kerajaan tentera di Bangkok mempunyai sedikit insentif atau tekanan untuk memberi kompromi yang bermakna dalam perbincangan damai. Oleh itu, dialog dengan kumpulan induk MARA-Patani sebahagian besarnya adalah sekadar untuk tontonan; dan jelas sekali bahawa BRN masih tersisih dalam proses itu kerana ia yakin kerajaan Thailand tidak ikhlas.

Abu Sayyaf

Di Filipina, Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) memulakan tahun 2017 seperti mana ia beroperasi pada 2016, dengan menumpukan kepada penculikan maritim.

Anak-anak kapal Jepun dapat menggagalkan cubaan merampas kapal mereka pada awal Januari - satu daripada kapal terbesar yang pernah cuba dirampas oleh ASG. Pada penghujung bulan itu, ASG menculik tiga nelayan Indonesia. Pada Februari, anggota ASG yang bersenjata telah menculik enam pelayar Vietnam termasuk kapten kapal kargo pukal dan membunuh seorang anak kapal. ASG membebaskan kapten warganegara Korea dan anak kapalnya setelah wang tebusan dibayar, tetapi memenggal kepala rakyat Jerman yang dijadikan tebusan apabila dia gagal membayar wang tebusannya. Seorang lagi kapten Filipina telah dipenggal pada April lalu apabila wang tebusannya tidak dibayar; dan pada Julai, mereka memenggal kepala 2 rakyat Vietnam.

Rondaan maritim bersama antara Filipina, Indonesia dan Malaysia dimulakan pada pertengahan 2017, dan mendapat kesan segera. Operasi maritim ASG berkurangan dengan ketara pada separuh kedua tahun ini, apabila militan itu lebih banyak melakukan penculikan rakyat Filipina yang kurang menguntungkan. Pada Oktober, ketiga-tiga negara berkenaan mula menyelaraskan rondaan udara, manakala Singapura dan China berusaha melakukan rondaan maritime bersama. Amerika Syarikat dan Australia pula menjalankan operasi maritim di Laut Sulu sebagai sokongan.

Dalam perkembangan yang membimbangkan, pada April lalu, sekumpulan lelaki bersenjata ASG membawa sebuah kapal kecil ke pulau peranginan Bohol di Visayas berhampiran Cebu, dan bertempur dengan pasukan keselamatan yang menyaksikan tiga orang tentera  dan seorang anggota polis terbunuh. Walaupun enam orang militan terbunuh, dan yang lain mengundur diri, ia merupakan serangan pertama kumpulan itu di luar Mindanao dan kepulauan Sulu, berdasarkan kedudukannya yang dianggap sebagai kawasan selamat.

Tentera Filipina pula melancarkan operasi terhadap ASG sepanjang tahun ini dengan banyak anggotanya terbunuh dalam pertempuran tetapi ia dapat membunuh berpuluh-puluh militan dan menangkap beberapa pemimpin penting. Malaysia pula menahan lebih daripada 12 suspek ASG atau militan yang menyokong mereka. Namun, operasi ASG dilihat terus kukuh menjelang akhir tahun.

Marawi


Serangan terhadap ASG memaksa Isnilon Hapilon dan orang-orangnya ke tanah besar Mindanao, di mana mereka bergabung dengan kumpulan yang berikrar menyokong IS, dengan diketuai oleh adik beradik Maute yang berkarisma. Pada Mei, militan menawan bandar Marawi, yang mereka kepung selama lima bulan sebelum tewas dalam pertempuran dengan pasukan kerajaan. Presiden Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera ke atas Mindanao.

Pengepungan Marawi menyerlahkan kekejaman dalam kemampuan tentera Filipina, yang berusaha untuk merampas kembali bandar selatan itu. Walaupun berdepan peperangan di bandar, keupayaan militan untuk mengatasi lebih 1,000 anggota, dan mempunyai cukup senjata dan peluru untuk melakukan pengepungan selama lima bulan, menunjukkan kegagalan risikan yang mengerikan.

Para militan turut mendapat sokongan daripada beratus pejuang dari Malaysia, Indonesia, Singapura, dan sejauh Yemen dan Chechnya. Pengepungan Marawi turut menjadi topik sebuah video  yang dihasilkan oleh media IS.

Marawi pula dibiarkan dalam runtuhan. Dan penduduknya menderita berikutan panjangnya tempoh pertempuran itu, selain tindak balas kerajaan yang tidak mencukupi. Sehingga Disember, separuh daripada 200,000 penduduknya yang berkeliaran telah kembali ke bandar itu.

Walaupun pasukan kerajaan dapat membunuh adik beradik Maute dan Isnilon Hapilon, serta beratus-ratus pejuang mereka, namun kira-kira 200 ahlinya dapat melarikan diri dan berkumpul kembali. Sebahagian besar daripada mereka mendapat perlindungan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang proses damai dengan kerajaan telah terhenti sejak awal 2015, dan ia dapat merekrut rakyat yang menentang kerajaan.

Dan beberapa kumpulan lain yang menyokong Negara Islam terus menentang kerajaan. Ansarul Khilafa Philippines terjejas pada awal 2017 apabila tentera Filipina membunuh pemimpin mereka, Mohammad Jaafar Maguid (alias "Tokboy"), namun kumpulannya masih utuh. Militan di bawah pimpiman bekas komander MILF, Abu Turaipe, pula meningkatkan serangan mereka, begitu juga pejuang dari kumpulan lain yang berpisah daripada MILF, Bangsamoro Islamic Freedom Fighters.

Pengepungan Marawi menimbulkan kebimbangan besar bagi seluruh rantau itu, yang sekali lagi menyaksikan Mindanao menjadi kawasan tanpa ditadbir, dan membangkitkan kebimbangan keselamatan serantau.

Negara-negara yang cepat menawarkan sokongan: Malaysia dan Indonesia meningkatkan rondaan maritim, dan kepolisan di bahagian kawasan Borneo masing-masing. Australia dan Singapura menghantar pesawat dipandu dan melakukan pengawasan udara tanpa pemandu. Amerika Syarikat memberikan Filipina dua pesawat pengawasan kecil, manakala Amerika Syarikat dan China menyediakan senjata-senjata kecil. Australia dan Singapura turut membantu dari segi penyediaan latihan perang bandar.

Keganasan lain berkaitan Negara Islam


Di kawasan keseluruhan Asia Tenggara, hanya sedikit serangan pengganas yang berlaku walaupun suspek-suspek pengganas ditahan  di Indonesia, Malaysia, dan Singapura.

Pada Februari lalu, ahli-ahli JAD yang menyokong Negara Islam telah melakukan pengeboman menggunakan sebuah periuk tahan tekanan di Bandung Barat, Indonesia. Pada Mei, pada malam bulan Ramadan, dua pengebom bunuh diri menyerang sebuah terminal bas di Jakarta Timur yang mengakibatkan mereka terbunuh selain tiga anggota polis, dan mencederakan lima anggota polis dan lima orang awam. Organ media Negara Islam, Amaq, mengaku bertanggungjawab bagi serangan itu.

Terdapat beberapa serangan yang dapat digagalkan. Pada Februari, pihak berkuasa Malaysia menahan tujuh orang - seorang rakyat Malaysia, seorang rakyat Indonesia, empat rakyat Yaman dan seorang Uyghur - yang disyaki merancang untuk meletupkan bom kereta. Suspek Indonesia adalah seorang militan terlatih IS yang baru kembali dari Syria. Pada November, polis Malaysia menahan seorang pemuda berusia 19 tahun kerana memiliki IED, yang dia mahu gunakan pada satu pesta bir. Pihak berkuasa Malaysia juga mendakwa bahaw ia dapat membanteras sel yang menyeludup senjata dari selatan Thailand.

Di Indonesia, para pegawai menahan tiga anggota JAD yang merancang untuk menyerang sebuah balai polis di Jawa Timur pada  April. Dalam operasi susulan kepada pengeboman bunuh diri pada Mei lalu, polis menemui senjata api dan periuk tahan tekanan IED pada Jun. Secara keseluruhannya, seramai 41 orang ditangkap berkaitan dengan serangan Mei itu. Pada Julai, polis menahan empat lelaki di Bandung selepas IED mereka meletup sebelum waktunya. Dan pada November, polis menembak mati dua suspek selepas serangan kebakaran khianat dilakukan di sebuah balai polis di Sumatera Barat.

Beberapa pemimpin tertinggi IS dari Asia Tenggara juga terbunuh di Iraq dan Syria pada 2017, yang termasuk Muhammad Fudhail Omar dan Mohd Nizam Ariffin. Bahrun Naim - seorang perekrut yang paling produktif untuk IS di Asia Tenggara - sama ada telah terbunuh atau bergerak bawah tanah.

Seorang anggota skuad bom polis memeriksa lokasi letupan di Jakarta Timur, 24 Mei 2017. [AP]

Undang-undang dan dasar Perangi Keganasan (CT)

Sementara itu, kerajaan-kerajaan di rantau itu mengambil beberapa langkah untuk menangani kekurangan dasar dalam menangani militan. Indonesia mampu memaksa Telegram untuk menyekat 55 saluran yang digunakan oleh militan serantau. Filipina cuba memaksa Facebook untuk menutup laman yang dikaitkan dengan militan Marawi. Tetapi media sosial tetap menjadi alat penting bagi militan untuk menjana dana, melakukan perekrutan dan indoktrinasi.

Indonesia mengambil langkah yang lebih ekstrem dengan mengharamkan Hizbut Tahrir kerana melanggar ideologi rasmi Pancasila. Bagaimanapun, bilangan organisasi anti maksiat yang berupaya mengendalikan dan menyerang atau menakut-nakuti agama minoriti semakin berkembang. Tindakan memenjarakan gabenor Cina-Kristian di Jakarta, yang tewas dalam pemilihan sengit, telah membawa kepada peningkatan sikap tidak bertoleransi terhadap agama dan politik identiti.

Indonesia juga meneruskan rang undang-undang menangani keganasan yang kontroversi di Parlimen. Terdapat tiga aspek dalam rang undang-undang itu yang membimbangkan pengkritik; pertama, ia akan meningkatkan peranan tentera dalam menangani pengganas; ia akan menjejaskan usaha menyertai kumpulan militan di luar negara; dan ia akan memberikan kerajaan hak untuk melucutkan taraf kewarganegaraan.

Menuju 2018


Pada penghujung 2017, keadaan di seluruh Asia Tenggara agak tenang. Dan untuk bersikap adil, situasi yang berubah-ubah itu telah membawa kepada pelaksanaan kerjasama antara negara pada tahap yang baru. Tetapi prospek untuk meningkatkan aspek keselamatan pada 2018 nampaknya suram.

Lebih daripada sejuta pelarian Rohingya hidup di kem pelarian sempit di Bangladesh, yang kini antara kem yang terbesar di dunia. Walaupun adanya "perjanjian" untuk membenarkan Rohingya kembali, kerajaan Myanmar mungkin akan menyukarkannya dari segi bukti kesahihan penduduk. Dan dengan serangan terus berlaku, termasuk pembakaran kira-kira 40 kampung lagi pada November dan Disember, Rohingya mempunyai sebab untuk tidak mempercayai jaminan kerajaan Myanmar berhubung keselamatan mereka.

Walaupun ARSA belum melakukan serangan sejak serbuan pada Ogos 2017, ia bersedia untuk mengambil kesempatan daripada rasa putus asa dan kekecewaan populasi pelarian itu. Keadaan yang tidak selamat dalam kem-kem pelarian memberi insentif tambahan untuk menyertai kumpulan militan. Satu-satunya sumber kerajaan Bangladesh bagi memastikan kerajaan Myanmar memenuhi komitmennya untuk membenarkan pelarian kembali adalah dengan membolehkan ARSA merekrut, menganjurkan, melatih, melakukan serangan dari bumi Bangladesh.

Keadaan keselamatan di Mindanao mungkin terus berubah. Presiden Duterte telah pun mengalihkan fokus tentera kepada New People’s Army yang komunis, walaupun terdapat bukti bahawa mereka yang selamat dalam pertempuran Marawi kini sudah berkumpul kembali, sementara kelompok-kelompok pro-IS yang lain terus melakukan serangan.

Duterte juga cuba menurunkan harapan MILF terhadap laluan Undang-undang Asas Bangsamoro, undang-undang pelaksana bagi perjanjian damai 2014. Baru-baru ini, beliau mempersoalkan perlembagaan BBL, yang hanya akan memperkasa para penggubal yang menentang perjanjian otonomi itu. Dengan itu, MILF akan terus mengalami perpecahan.

Walaupun kerajaan Malaysia, Indonesia, dan Singapura tetap mengambil serius ancaman IS, kawasan tanpa ditadbir di selatan Filipina akan terus mewujudkan ruang bagi militan untuk melatih, mengumpul semula, dan melakukan serangan. Di samping itu, terdapat kebangkitan semula al-Qaeda, yang bersedia mengambil kesempatan daripada keadaan yang dialami Negara Islam.

Pemberontakan BRN di selatan Thailand menunjukkan bahawa para pemberontak boleh mencetuskan keganasan sekiranya mereka mahu. Dengan banjir melanda akibat musim hujan lebat  pada awal 2018, keganasan juga dijangka terus meruncing.

Tahun ini menyaksikan keadaan yang lebih ganas dan tidak stabil di Asia Tenggara berbanding apa yang dapat dibayangkan oleh sesiapa pun. Malangnya, 2018 dijangka bersedia untuk bermula seperti itu.


Zachary Abuza adalah seorang profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.”  Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan beliau sendiri dan bukan pandangan atau dasar Jabatan Pertahanan A.S, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.