Follow us

Di Mana, ARSA?

Komentar oleh Zachary Abuza
2017-10-16
E-mel
Komen
Share
Penduduk Rohingya dipindahkan ke kem-kem pelarian selepas menyeberangi Sungai Naf di Teknaf, Bangladesh, 8 Okt, 2017.
Penduduk Rohingya dipindahkan ke kem-kem pelarian selepas menyeberangi Sungai Naf di Teknaf, Bangladesh, 8 Okt, 2017.
[AFP]

Gencatan senjata kemanusiaan satu pihak yang dilaksanakan Arakan Rohingya Solidarity Army (ARSA) berakhir pada 9 Okt. Gencatan sementara itu tidak memberi makna besar dari sudut hal ehwal ketenteraan, dan, seminggu kemudian, tidaa serangan baru yang dikaitkan dengan ARSA.

Tetapi, gencatan senjata itu terbukti menjadi langkah perhubungan awam yang penting. Walaupun ARSA hanya mempunyai keupayaan ketenteraan yang paling asas, namun diplomasi awam dan operasi maklumatnya jauh lebih canggih dan berbeza dengan pemesejan neo-autoritarian kerajaan Myanmar.

Semasa berlangsungnya gencatan senjata itu, bencana kemanusiaan telah didedahkan secara menyeluruh kepada dunia walaupun beberapa kerajaan sekadar mengambil maklum tentangnya. Lebih daripada 530,000 penduduk Rohingya telah melarikan diri dari rumah mereka dengan menyeberang masuk ke Bangladesh, yang menempatkan kira-kira 400,000 pelarian Rohingya di kem-kem pelarian sejak mereka mula tiba pada  2012.

Pasukan keselamatan dan separa tentera Myanmar membakar hingga musnah sekurang-kurangnya 288  kampung penduduk Rohingya. Pihak tentera telah membunuh kira-kira 3,000 orang dalam apa yang dianggap sebagai operasi memerangi pengganas, tetapi tindakan itu dengan sengaja menyasarkan kepada orang awam dalam apa yang dinamakan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian sebagai  "kes buku teks pembersihan etnik."

Sejumlah besar yang lain pula lemas semasa cuba berenang menyeberangi sungai yang memisahkan kedua-dua negara itu atau apabila bot yang mereka naiki terbalik. Kerajaan Bangladesh dan masyarakat antarabangsa merasa bimbang dengan keadaan krisis pelarian itu, dengan hampir satu juta orang terpaksa tinggal di kem-kem pelarian yang sempit, berdepan dengan kekurangan makanan, ubat-ubatan, perlindungan serta keselamatan ketika musim monsun melanda kini.

Skala krisis kemanusiaan itu nampaknya tidak disedari mahu pun oleh ARSA.

Logik bagi penubuhan sebuah kumpulan ekstremis kecil adalah untuk melakukan provokasi terhadap tindak balas keras kerajaan, mendapatkan sokongan yang lebih popular serta perhatian pihak antarabangsa. Ini adalah rancangan yang penuh percaturan dan sinis.

Tetapi, tiada seorang pun dalam ARSA yang mungkin menjangkakan sama ada Tatmadaw, nama rasmi tentera Myanmar, untuk melakukan tindakan yang kejam secara berterusan, atau kerajaan ikon hak asasi manusia Barat dan penerima Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi, akan aktif menyokong usaha mereka.

Kenyataan bertulis dan video ARSA yang dikeluarkan sejak serangan pada 25 Ogos lalu, yang mana ia telah dipersalahkan dan membawa kepada pemindahan penduduk Rohingya secara besar-besaran,  dilakukan dengan meluas dan menyeluruh dengan merakamkan penghargaan kepada komuniti antarabangsa serta memberi tumpuan kepada keperluan untuk menangani ksengsaraan kemanusiaan.

Untuk itu, dalam kenyataannya pada 7 Okt, ARSA telah menawarkan untuk melanjutkan gencatan senjata satu pihak jika kerajaan Myanmar membalasnya dengan membenarkan agensi-agensi kemanusiaan antarabangsa memasuki negeri utara Rakhine. Jurucakap kerajaan dan pimpinan Tatmadaw dengan pantas menolak tawaran itu dan memberitahu bahawa mereka tidak akan "berunding dengan pengganas."

Operasi maklumat ARSA adalah jauh lebih baik daripada keupayaan tenteranya. Penyampaian kenyataan media, mesej video, dan rangkaian gabungan organisasi berita dalam talian yang disiarkan dalam bahasa Bengali, Burma, Arab, Urdu dan Bahasa Inggeris dihasilkan dengan baik dan mengandungi mesej sewajarnya, dengan mengklasifikasikan penyalahgunaan hak asasi manusia terhadap pasukan kerajaan.

Tetapi, pada akhirnya, ARSA adalah organisasi yang digambarkan sendiri sebagai militan, yang komited untuk mempertahankan hak dan kepentingan kawasannya.

Ramai penduduk Rohingya yang tidak bersetuju dengan taktik mereka kerana percaya bahawa sebarang keganasan akan menjadi ‘casus belli’ bagi kerajaan melaksanakan operasi keras untuk memaksa mereka meninggalkan rumah mereka. Realitinya, sekarang mereka hidup dalam buangan tanpa sebarang harta, dan keganasan mungkin menjadi satu-satunya usaha yang bermakna.

Kerajaan Myanmar, walaupun setelah mengeluarkan beberapa kenyataan yang tidak dipercayai sesiapa pun, tidak mungkin menerima kembali penduduk Rohingya.

Tatmadaw bukan sahaja mengerahkan sejumlah besar anggota tentera dan separa tentera Burma ke utara Rakhine dan membakar 288 kampung serta menyebabkan separuh daripada penduduk Rohingya hidup dalam buangan, tetapi mempunyai sejumlah kecil penduduk kampung yang bersembunyi dalam kalangan mereka. Baki penduduk Rohingya yang ada itu mempunyai sebab untuk tidak menyokong ARSA kerana bimbang mereka menjadi mangsa berikutnya.

Perjalanan dan tempat perlindungan di Rakhine pastinya menjadi satu cabaran. ARSA mempunyai sedikit senjata dan berdasarkan cerita daripada kebanyakan militan ARSA, mereka telah menyerang anggota tentera kerajaan hanya dengan tombak dan parang serta mengalami kadar kecederaan yang tinggi dalam usaha merampas senjata dan peluru.

Dengan melanggar norma-norma kemanusiaan, Tatmadaw memasang periuk api dan pagar di sepanjang sempadan untuk menyukarkan penyusupan masuk dari Bangladesh.

Apa yang diharapkan daripada ketenteraan ARSA

Terdapat beberapa iktibar yang boleh kita pelajari daripada pemberontakan tahap rendah  lain yang telah meresap masuk ke Asia Tenggara. Pertama, mereka mungkin akan menumpukan kepada perekrutan dan indoktrinasi di dalam kem pelarian kerana mereka mempunyai kumpulan orang secukupnya yang tiada apa lagi untuk dipertahankan serta mahu mendapatkan manfaat dan perlindungan dengan berada di dalam kumpulan militan.

Ini akan disusuli dengan penubuhan unit-unit kecil dan terlibat dalam latihan asas ketenteraan. Tahap kemampuan mereka bergantung kepada kerajaan Bangladesh, yang, jika dipilihnya, dapat menyekat kebanyakan latihan itu. Tetapi dengan memberi ruang kepada ARSA adalah satu daripada satu-satunya titik kekuatan yang ia ada untuk memastikan kerajaan Myanmar menerima semula walaupun sedikit penduduk Rohingya.

Dengan bilangan penduduk Rohingya semakin berkurangan di Rakhine, ia memberi peluang besar kepada ARSA untuk tidak lagi berasa bimbang dengan tindakan balas dan membolehkannya melakukan lebih banyak serangan. Seseorang  mungkin sedar bahawa serangan terhadap orang awam Buddha tidak lagi memerlukan senjata seperti tentera.

Di selatan Thailand, pemberontak Melayu memenggal kepala orang awam dan memotong mayat mereka untuk menakutkan komuniti Buddha tempatan. Tanpa senjata yang banyak, pemberontak Thailand memilih untuk menggunakan IED. Sejak 2004, lebih daripada 3,000 IED telah diletupkan dan beratus-ratus lagi gagal untuk meledak atau dapat dimatikan. Sejak 2009, Thailand menemui purata 14 IED sebulan.

Teknologi yang diperlukan mudah didapati dan murah. Kebanyakan komponen (ammonium nitrat atau baja lain, bahan api, pemadam api atau silinder gas memasak) boleh dicuri dengan mudah.

Selepas bertahun-tahun  sengaja menyasarkan orang awam Buddha, pemberontak Melayu di Thailand kini meberi tumpuan kepada serangan sasaran terhadap pasukan keselamatan. Walaupun angka kematian menurun sejak kemuncak insiden itu pada 2007, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan pemberontak telah dikalahkan.

Sebaliknya, pemberontakan menjadi masalah besar terhadap sumber-sumber Thailand dan ia bakal menjadi lebih buruk sekiranya para pemberontak menyasarkan tempat-tempat pelancongan.

Free Papua Movement (Gerakan Bebaskan Papua)

Free Papua Movement (OPM) di wilayah timur Indonesia telah terlibat dalam serangan hendap tahap rendah dengan pasukan pemerintah sejak pertengahan 1960-an. Walaupun usahanya untuk mendapatkan kemerdekaan tidak meluas, OPM tidak pernah dikalahkan dan ia terus menjadi masalah kepada pasukan keselamatan di wilayah yang kaya sumber itu.

Lebih daripada  4,000 anggota pasukan keselamatan dilaporkan telah terbunuh dan kira-kira 45,000 anggota pasukan itu ditempatkan di wilayah tersebut, yang masih tertutupuntuk dimasuki media. Dengan bukti tentang penyeksaan yang berterusan, dipaksa menghilangkan diri serta pencabulan hak asasi manusia, Papua Barat tetap menjadi masalah bagi tentera Indonesia selain ia menghalangi penyatuan demokrasi dan kedaulatan undang-undang.

Sokongan asing dipersoalkan

Pada 11 Sept lalu, al-Qaeda mengeluarkan kenyataan bahawa berjuang bagi pihak Rohingya merupakan suatu tuntutan agama.

Walaupun gesaan itu dilihat sebagai sebahagian daripada persaingan al-Qaeda dengan Negara Islam (IS), terutamanya sejak projek khalifahnya telah berakhir, adalah jelas bahawa rantau itu mula menarik sokongan asing. Ahli militan telah ditangkap di Malaysia dan India dalam perjalanan untuk bertarung bagi pihak Rohingya termasuk yang memerlukan kemahiran teknikal.

Sehingga kini, ARSA adalah kumpulan etno-nasionalis yang tidak cuba untuk mengelak tetapi mahu mendapatkan semula hak-hak dan perlindungan penduduknya. Selain perbezaan ideologi, ARSA mempunyai  alasan yang logik untuk menjauhkan diri daripada kelompok jihad yang merentas negara, yang akan memaksa pasukan keselamatan Bangladesh untuk bertindak memerangi mereka.

Bagaimanapun, dalam keadaan yang sangat teruk, ARSA dapat merasakan bahawa ia perlu  menerima sokongan daripada mana-mana pihak yang sanggup memberikannya.

Sasaran kepada kepentingan Myanmar, seperti kedutaan atau warga asing, tidak mungkin dilakukan oleh ARSA. Al-Qaeda dan IS sebaliknya semakin cenderung untuk bersaing menjadi pembela umat Islam yang dianiaya. Di Indonesia sahaja, terdapat dua rancangan aktif untuk meletupkan kedutaan Myanmar sejak 2014.

ARSA tidak mungkin menimbulkan ancaman utama kepada kerajaan Myanmar, tetapi ini mungkin berubah tidak lama lagi. Operasi maklumat dan kempen politik yang dilakukannya menunjukkan kecanggihan institusi yang mencukupi untuk memastikan ARSA terus berada di lapangan dan ia bukanlah berita yang baik bagi mereka yang mahu mencari penyelesaian segera kepada penderitaan kemanusiaan Rohingya.

Iktibar daripada insiden di Selatan Thailand, Papua Barat dan Mindanao adalah jelas - pemberontakan tahap rendah boleh membawa kehancuran  selama beberapa dekad dan memberi kesan buruk terhadap pembangunan manusia, dengan melemahkan urus tadbir dan meningkatkan kebimbangan manusia.

Zachary Abuza adalah seorang profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.”  Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan beliau sendiri dan bukan pandangan atau dasar Jabatan Pertahanan A.S, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh