Bahasa Melayu Sebagai ‘Bahasa Kerja’ Mungkin Dicadang Dalam Rundingan Damai Thailand - BRN

Sepanjang dua tahun rundingan dijalankan dengan kebanyakannya dilakukan secara dalam talian, kedua-dua pihak masih belum mampu mengendurkan ketegangan, kata penganalisis Don Pathan.
Komentar oleh Don Pathan
Yala, Thailand
2021-12-29
Share
Bahasa Melayu Sebagai ‘Bahasa Kerja’ Mungkin Dicadang Dalam Rundingan Damai Thailand - BRN Orang ramai mengharungi banjir selepas hujan lebat di Sungai Kolok, sebuah daerah dalam wilayah Narathiwat di Selatan Thailand yang mempunyai majoriti penduduk Muslim, 20 Dis, 2021.
[AFP]

Dengan kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) bakal menyambung rundingan damai secara bersemuka pada bulan depan, isu menjadikan Bahasa Melayu sebagai "bahasa kerja" bersama-sama dengan Bahasa Thai dan membenarkan ruang lebih meluas bagi budaya Melayu di Thailand akan dibawa ke meja perbincangan itu.

Sekiranya kedua-dua pihak membincangkan isu berkenaan pada rundingan damai itu, yang diuruskan oleh Malaysia, ini bermakna mereka akan bergerak melangkaui usaha membina keyakinan serta mengangkat isu yang lebih substantif untuk diperbincangkan.

Tetapi, tiada yang mudah untuk dibincangkan berhubung isu yang berkaitan dengan Selatan Thailand, yang majoriti penduduknya adalah berketurunan Melayu Thailand.

Inisiatif damai yang akan dibincangkan pada Januari ini – belum lagi disahkan secara rasmi oleh kedua-dua pihak sebaliknya oleh sumber di setiap pihak berkenaan – nampaknya akan diadakan dalam keadaan goyah. Ini kerana sayap tentera BRN dan Tentera Thailand tidak pernah berminat dengan idea mengadakan rundingan damai.

Apa jua keputusan yang mereka persetujui di meja rundingan, ia masih memerlukan persetujuan daripada para pejuang gerakan pemisah Melayu Patani, yang sudah lama bertapak dan kini mengawal hampir semua pejuang yang berada di lapangan.

Setelah dua tahun berkomunikasi secara dalam talian berikutan penularan pandemik COVID-19, hasil yang diperoleh adalah pelbagai termasuklah terlepas peluang yang ada.

Gencatan senjata unilateral yang diisytiharkan oleh BRN atas dasar kemanusiaan pada April 2020 dan pandemik COVID-19 merupakan peluang yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak untuk mendalami kerjasama.

Sebaliknya, pandemik itu menjadi alasan untuk menjarakkan lagi hubungan kedua-dua pihak. Selain itu, Tentera Thailand bertindak balas terhadap gencatan senjata BRN dengan melakukan peningkatan serangan serta memberikan amaran keras kepada para pejuang BRN: Menyerah diri dan hidup atau mati dalam pertempuran.

Kurangnya senjata dan bilangan pejuang, selalunya bernisbah 20 berbanding seorang, hampir semua pejuang BRN yang terlibat dalam pertempuran memilih untuk bertarung sehingga ke akhir nyawa daripada menyerah diri. Tindakan mereka mendorong beberapa orang dalam kalangan dasar kerajaan tertanya-tanya sama ada kumpulan pejuang ini menjurus ke arah ekstremisme ganas di mana kematian adalah lebih utama dalam operasi.

Walaupun kematian pejuang berpunca daripada pertempuran senjata - bukannya misi bunuh diri – hakikatnya bahawa militan memilih untuk melawan sehingga nafas terakhir daripada menyerah diri dan hidup, menunjukkan perasaan sebenar para pejuang. Ini berikutan perasaan perlu menjalani kehidupan yang memalukan dan tidak mungkin dapat ditanggung oleh waris mereka, demikian menurut ahli keluarga beberapa militan yang terbunuh dalam pertempuran baru-baru ini.

Kematian para pejuang menyebabkan jurang semakin besar di antara Muslim tempatan dan pihak pemerintah Thailand. Ahli keluarga pemberontak yang terbunuh pula menerima limpahan sokongan moral daripada penduduk tempatan. Semua pemberontak dikebumikan sebagai syahid.

Sementara itu, pihak kerajaan, agensi kerajaan dan pegawai Tentera Thailand memperdebatkan isu tatanama - perlukah pemberontakan itu dikenali sebagai "konflik" atau "jenayah terancang?"

Pihak Tentera berkeras untuk meyebutnya sebagai "jenayah terancang." Untuk menganggapnya sebagai "konflik" adalah seperti memperakukan perbuatan pemberontak dan kemungkinan membawa isu itu merentas negara, kata mereka. Tetapi pihak perunding Thailand melihatnya dari sisi berbeza.

Thailand tidak perlu gusar dan kedaulatan negara itu tidak akan lemah sekiranya kerajaan menganggap pemberontakan di Selatan Thailand sebagai "konflik bersenjata," menurut Chanintira Na Thalang yang merupakan profesor bersekutu di Universiti Thammasat.

"Tidak kiralah sama ada konflik di Selatan bersesuaian dengan gambaran NIAC [konflik bersenjata bukan antarabangsa], tiada kemungkinan adanya campur tangan pihak luar," kata Chanintira.

"Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian pihak antarabangsa dan adanya campur tangan yang tidak diingini ialah tahap keganasan yang berlaku dan mengetepikan hak asasi manusia."

Konflik di wilayah sempadan Selatan Thailand berakar umbi dengan adanya rasa tidak percaya sejak sekian lama serta kebencian terhadap dasar asimilasi kerajaan Thailand, yang menurut Melayu Patani, ia mengorbankan identiti etno-agama mereka.

Penduduk Muslim tempatan, khususnya ahli kumpulan pemisah bersenjata, berpendapat bahawa wilayah itu adalah milik orang Melayu dan masyarakat itu mempunyai kewajipan moral untuk membebaskannya daripada kuasa yang menceroboh masuk tanah mereka dari Siam, nama lama bagi Thailand.

Don Pathan adalah penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh