Pemberontak BRN cantas harapan Thailand dapatkan gencatan senjata semasa Buddhist Lent

Selain beberapa serangan bersepadu berlaku minggu lalu, rundingan damai turut menjadi ‘masam’, menurut penganalisis keselamatan Don Pathan.
Komentar oleh Don Pathan
2022.08.22
Yala, Thailand
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Pemberontak BRN cantas harapan Thailand dapatkan gencatan senjata semasa Buddhist Lent Seorang pegawai Thailand memerhatikan lori tangki minyak yang rentung di sebuah stesen minyak di wilayah Pattani susulan beberapa kejadian pembakaran dan serangan bom dalam semalaman di wilayah paling selatan negara itu, dengan pihak berkuasa mendakwa ia dilakukan oleh pemberontak pemisah Muslim, 17 Ogos 2022.
[Sumeth Panpetch/AP]

Tidak lama dahulu, pegawai-pegawai Thailand optimis mengenai kejayaan gencatan senjata Ramadan selepas tentera kerajaan dan pemberontak Melayu Muslim, BRN, bersetuju menahan diri daripada melakukan keganasan sepanjang bulan suci Islam itu di seluruh Selatan Thailand.

Gencatan senjata selama 40 hari itu, yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak semasa rundingan damai di Malaysia pada awal April, dilaksanakan sepanjang Ramadan iaitu sehingga pertengahan Mei. Ia merangkumi acara keagamaan penganut Buddha, Visakha Bucha, yang dikatakan sebagai hari suci paling utama bagi majoriti penganut agama negara itu, kearan ia membawa tanda muhibah.

Ada yang melihat langkah ini sebagai titik perubahan bagi pemberontakan pemisah bersenjata, yang telah menyaksikan banyak inisiatif damai ‘datang dan pergi’ sejak konflik di wilayah sempadan Selatan Thailand berleluasa hampir 20 tahun lalu. Isyarat ni juga melangkaui usaha membina keyakinan yang lazim dibincangkan di meja rundingan pihak berkenaan.

Malangnya, keyakinan pegawai-pegawai Thailand itu ternyata tidak bertahan lama.

Realitinya sukar diterima apabila, dalam tempoh dua minggu selepas gencatan senjata Ramadan tamat, pejuang BRN telah melancarkan serangan ganas di pos polis Marin di Tak Bai, sebuah bandar sempadan di sepanjang sungai yang memisahkan Thailand dan Malaysia.

Ia bukanlah serangan biasa dilakukan oleh pemberontak Barisan Revolusi Nasional (Barisan Revolusi Nasional) yang melibatkan letupan IED di tepi jalan diikuti dengan tembak-menembak tidak lebih daripada tiga minit.

Kali ini, pemberontak mahu orang awam di kedua-dua belah sempadan mendengarnya. Pertempuran sengit berlaku selama 15 minit dan tembakan masih kedengaran sejam selepas bermulanya tembakan pertama.

Dan minggu lepas, pada lewat malam Selasa hinggalah ke pagi Rabu, pihak militan melakukan pembakaran dan serangan bom secara serentak dengan menyasarkan 17 kedai serbaneka yang kebanyakannya terletak di stesen minyak di seluruh kawasan selatan itu.

Seperti operasi Tak Bai pada akhir Mei lepas, para pejuang itu mengelak kemalangan jiwa dengan mengarahkan kerani kedai untuk keluar dari premis. Dalam kes Tak Bai, penjual diarah berlindung sebelum tembakan bermula. Bagaimanapun, dalam serangan minggu lepas, seorang kerani berusia 21 tahun di kedai 7-Eleven di wilayah Narathiwat terbunuh apabila dia terperangkap dalam kebakaran sejurus selepas kedai itu diserang dengan bom api, yang merupakan sebahagian daripada serangan bersepadu itu, kata pegawai.

Dan, seperti apa yang berlaku dalam insiden Tak Bai, pegawai BRN tidak mengesahkan mahupun menafikan bahawa kumpulan mereka melakukan serangan bersepadu itu pada minggu lalu. BRN, sebuah organisasi penuh sulit, mempunyai dasar yang sudah lama diamalkan iaitu tidak mengulas atau mengaku bertanggungjawab bagi sebarang insiden atau operasi tertentu.

Ini sebahagiannya kerana kumpulan itu tidak mempunyai perwakilan umum yang boleh dikenal pasti melalui badan atau parti politik dengan cara yang sama seperti Tentera Republik Ireland melalui parti Sinn Fein di Ireland Utara. BRN mempunyai perunding yang mewakilinya tetapi pergerakan itu belum menubuhkan "sayap politik" yang boleh melibatkan diri sepenuhnya dengan orang ramai dan komuniti antarabangsa.

220822-TH-MY-2Don.jpg

Anas Abdulrahman (tengah), ketua panel yang mewakili pemberontak Barisan Revolusi Nasional dalam rundingan damai dengan Thailand, yang juga dikenali sebagai Hipni Mareh dan rakan-rakan perwakilan BRN menyertai sidang media selepas mesyuarat itu diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, dekat Kuala Lumpur, 3 Ogos 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Pemerhati yang mempunyai hubungan kerja dengan operasi BRN berkata para pejuang itu sudah lama ingin melakukan pertempuran tetapi terpaksa menangguhkannya berikutan perbincangan mengenai gencatan senjata.

Malah, pejuang BRN masih kecewa dengan pihak Tentera Thailand kerana memperkecilkan gencatan senjata unilateral yang diumumkan oleh kumpulan pemberontak itu pada April 2020. Ia adalah satu usaha kemanusiaan yang sejajar dengan rayuan global daripada Setiausaha Agung PBB António Guterres supaya pekerja kesihatan tidak perlu risau tentang terjebak dalam sebarang serangan tembakan kerana mereka berusaha untuk menyampaikan bantuan perubatan dan membendung wabak COVID-19, yang melanda Selatan Thailand pada masa itu.

Tentera Thailand bukan sahaja tidak mengendahkan pemberontak dengan menganggap usaha itu sebagai tidak penting dan mengabaikan rayuan daripada aktivis tempatan untuk berundur, malah tentera Thailand melepaskan kemarahan kepada pejuang BRN dengan menyatakan bahawa undang-undang menyebelahi mereka.

Sepanjang tempoh antara pengisytiharan unilateral gencatan senjata berkaitan pandemik dan permulaan Ramadan tahun ini pada awal April, pasukan keselamatan Thailand telah menembak mati seramai 64 pejuang BRN dengan menembak seorang hingga dua orang pada satu-satu masa semasa pertempuran yang berat sebelah di kampung-kampung pedalaman di seluruh kawasan sempadan wilayah itu.

Para pejuang itu juga tidak menonjolkan diri dan mematuhi arahan komander mereka supaya berundur semasa tempoh unilateral terhenti seketika semasa operasi itu.

Penduduk kampung percaya bahawa pihak berkuasa telah dimaklumkan oleh pemberi maklumat sebagai balasan untuk mendapatkan ganjaran. Satu perkara yang membimbangkan pihak berkuasa ialah dalam semua tempoh bertempur itu, hanya seorang sahaja yang menyerah diri. Selebihnya sanggup bertarung sehingga mati walaupun peluang mereka untuk selamat – iaitu untuk melarikan diri - hampir tiada langsung.

Malah, pemimpin kanan BRN merasakan perunding mereka semakin "terlalu selesa" dengan rakan sejawat dari kalangan kerajaan Thailand. Mereka menarik perhatian kepada beraninya pegawai Thailand meminta gencatan senjata dilakukan hanya apabila ia dapat memenuhi kepentingan politik mereka.

Pada mesyuarat peringkat teknikal yang diadakan pada Jun 2022, kerajaan Thailand memutuskan untuk mencuba nasib mereka dengan meminta satu lagi gencatan senjata dilaksanakan. Kali ini, mereka meminta gencatan senjata selama lebih tiga bulan yang meliputi tempoh acara keagamaan Buddist Lent, yang akan berlangsung sehingga 10 Oktober di Thailand.

Pegawai politik BRN mengejutkan semua pihak apabila mereka berjaya memujuk pihak Tentera supaya turut sama melaksanakannya. Dan sekali lagi, mereka memberi kepada kerajaan Thailand lebih daripada apa ditawarkan; BRN mahu meneruskan gencatan senjata itu bagi tempoh sebulan lagi dengan melanjutkannya sehingga akhir November 2022.

Tetapi ia disertai dengan satu syarat: kerajaan Thailand perlu menandatangani Prinsip Umum Proses Dialog Damai iaitu pelan tindakan yang menetapkan syarat-syarat untuk rundingan pada masa depan.

Pihak kerajaan Thailand tidak membantah kandungan pelan itu termasuk satu perkara yang menetapkan bahawa kedua-dua pihak mesti bersetuju untuk berunding di bawah Perlembagaan Thailand dan prinsip yang mendasari Negara Kesatuan Thailand mestilah diterima pakai.

Tidak menandatangani sebarang perjanjian sudah lama menjadi tradisi kerajaan Thailand, mungkin kerana bimbang bahawa langkah memeterai mana-mana dokumen akan secara tidak langsung meningkatkan kesahihan BRN – dan ini amat mengecewakan pejuang tegar yang ada di negara itu. Bagi pegawai BRN, tanda tangan ketua perunding kerajaan Thailand akan meningkatkan penerimaan dan legitimasi mereka sebagai sebuah organisasi.

220822-TH-MY-3Don.jpg

Seorang gadis memegang sepanduk semasa demonstrasi menentang insiden keganasan oleh suspek pemisah baru-baru ini, di wilayah Narathiwat di Selatan Thailand pada 15 Ogos 2022. [Madaree Tohlala/AFP]

Percanggahan pendapat mengenai Prinsip Umum itu semakin meluas.

Pada pusingan terakhir rundingan damai bersemuka yang diuruskan oleh Malaysia di Kuala Lumpur pada 1 hingga 2 Ogos, semuanya itu gagal dicapai dalam proses damai tersebut.

BRN memberikan reaksi dingin kepada kerajaan Thailand. Seorang pegawai Thailand menyifatkan pertemuan itu sebagai "melengahkan masa" dan seorang lagi pula berkata usaha "memulakan semula rundingan” telah ditolak.

"Ia seolah-olah BRN tidak mahu berada di sana," kata pegawai itu. Kedua-dua belah pihak tidak makan bersama malah tiada yang saling berbual pun semasa waktu rehat.

Seorang pegawai kanan BRN menolak istilah "melengahkan masa" tetapi mengakui bahawa pertemuan itu menjadi agak 'masam' dan tidak berakhir dengan baik.

BRN hanya "tegas dengan pendirian kami," katanya.

Kedua-dua sumber itu bercakap dengan kolumnis ini selepas bersetuju nama mereka tidak disiarkan kerana mereka tidak dibenarkan memberi maklumat mengenai isu yang dibincangkan semasa pusingan terakhir perbincangan itu.

Pihak konservatif di Thailand percaya bahawa menandatangani sebarang perjanjian dengan BRN boleh membuka laluan kepada membawa konflik itu ke peringkat antarabangsa di mana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau negara lain atau komuniti dunia lain boleh turut campur tangan.

'Semakin terlalu selesa'

Sementara itu, nampaknya terdapat beberapa bentuk percanggahan pendapat antara perunding BRN, kepimpinan kanan kumpulan itu serta para pejuangnya di lapangan.

Pejuang di lapangan percaya bahawa pemimpin mereka perlulah meneroka cara lain untuk mendapatkan penerimaan dan kesahihan. Para pejuang tidak mahu menerima Prinsip Umum itu kerana dua ketetapan mengenai Perlembagaan Thailand dan Negara Kesatuan Thailand. Perkara pertama dalam Perlembagaan Thailand menyatakan bahawa negara beraja itu tidak boleh dipisahkan.

Pemimpin BRN, bagaimanapun, telah menegaskan bahawa objektif politik – iaitu mendapatkan kemerdekaan untuk rakyat Patani - yang mereka samakan sebagai "nilai suci" adalah tidak berubah.

“Kesahihan dan penerimaan akan bergantung kepada BRN dalam memenuhi komitmen yang mereka buat atau rancang untuk dilakukan dengan komuniti antarabangsa. Ia juga bergantung kepada tindakan mereka di lapangan,” kata Artef Sohko, presiden The Patani, sebuah kumpulan tindakan politik yang menyokong hak menentukan nasib sendiri bagi penduduk wilayah sempadan itu yang menjadi tuntutan mengikut sejarah.

Pemimpin BRN telah menyatakan hasrat untuk memahami dengan lebih baik mengenai norma-norma dan prinsip-prinsip kemanusiaan antarabangsa.

Pada pandangan Artef, kerajaan Thailand dan fasilitator Malaysia, Abdul Rahim Noor, perlulah menghargai dan mengalu-alukan hasrat itu kerana ia bermakna adanya perlakuan lebih beradab dalam zon konflik.

Mengulas mengenai suasana ‘masam’ semasa rundingan di Kuala Lumpur baru-baru ini, Artef berkata: "BRN menjauhkan diri mereka daripada pada perunding Thailand adalah merupakan suatu perkara yang baik."

“Pihak kerajaan Thailand semakin terlalu selesa,” kata Artef, sambil merujuk kepada “keberanian” mereka untuk meminta gencatan senjata selama 108 hari sempena Buddhist Lent tetapi tidak mengendahkan sikap menempatkan “semua atau tidak” pasukan keselamatan kerajaan di kawasan operasi.

Artef berkata kerajaan Thailand dengan mudah mengetepikan hakikat bahawa pejuang BRN di lapangan dengan berat hati mematuhi gencatan senjata Ramadan. Mereka tidak mahu mengaibkan perunding mereka dan kerana itulah mereka sedia mengalah dan berhenti melakukan keganasan sepanjang Ramadan, jelasnya.

Don Pathan ialah seorang penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.