Thailand, Pemberontak BRN Tidak Sekata Mengenai Isu Utama Dalam Rundingan Keamanan

Permintaan pihak pemberontak untuk mendapatkan autonomi adalah "bukan permulaan yang mutlak" bagi kerajaan Thailand, kata penganalisis Zachary Abuza.
Komentar oleh Zachry Abuza
2022.01.19
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Thailand, Pemberontak BRN Tidak Sekata Mengenai Isu Utama Dalam Rundingan Keamanan Penduduk-penduduk Khoksator, sebuah kampung di wilayah Narathiwat yang dilanda pemberontakan Selatan Thailand, melihat anggota polis menyiasat lokasi kejadian di mana seorang budak lelaki berusia lapan tahun dan tiga saudaranya ditembak mati semasa dalam perjalanan ke sekolah, 2 Mac 2017.
[AFP]

Delegasi yang mewakili kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) bertemu di Kuala Lumpur pada minggu lalu bagi mengadakan rundingan damai pertama mereka secara bersemuka sejak kira-kira dua tahun.

Seperti yang dijangkakan, tiada kejayaan dicapai dalam rundingan itu, yang dikendalikan Malaysia bagi menyelesaikan pemberontakan pemisah yang sudah berdekad lamanya di Selatan Thailand, walaupun kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan kumpulan kerja bersama untuk perbincangan masa depan.

Berdasarkan penelitian terhadap kenyataan dan ulasan yang dibuat setiap pihak berkenaan, ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan Thailand dan BRN tidak sekata berhubung isu-isu utama.

Keutamaan BRN

Menurut ketua perunding BRN, Anas Abdulrahman (yang juga dikenali sebagai Hipni Mareh), kedua-dua pihak bersetuju membincangkan empat perkara yang dikenal pasti sebagai keutamaan kumpulan pemberontak: tadbir urus, pendidikan, pengiktirafan identiti Melayu Patani; dan sistem ekonomi tradisional mereka.

Pada Mei 2021, BRN mengemukakan cadangan gencatan senjata berdasarkan "penubuhan wilayah autonomi ‘Patani Darussalam’ yang akan mempunyai kuasa untuk membangunkan sistem pendidikannya sendiri; iaitu berkaitan Islam dan dalam bahasa Melayu; serta di mana "bahasa dan identiti Melayu diiktiraf dan dipelihara secara rasmi."

Gesaan BRN untuk mendapatkan autonomi, bukanlah permulaan yang mutlak bagi kerajaan Thailand.

Thailand adalah negara yang amat berpusat, lebih-lebih lagi sejak perlembagaan yang disokong tentera berkuat kuasa pada 2017.

Kerajaan ini tidak akan sekali-kali bersetuju dengan autonomi. Dan, terus-teranglah, mereka yang dipilih secara demokrasi tidak akan menyokong autonomi penuh kerana bimbang ia akan melibatkan lebih banyak campur tangan tentera dalam politik.

Pemberian autonomi kepada penduduk Melayu Patani akan mewujudkan satu duluan yang dilihat tidak boleh diterima sama sekali oleh kerajaan Thailand.

Kerajaan Thailand berkata ia sedang mempertimbangkan untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua. Para pegawai Thailand tahu bahawa mereka perlu melakukannya namun enggan melaksanakannya.

Orang Thai tidak akan melepaskan sebarang sistem pendidikan kerana itu adalah satu daripada cara utama untuk mengindoktrinasikan orang awam – terutamanya semasa di bawah pemerintahan kerajaan yang disokong tentera ini.

Adalah tidak jelas sama ada kerajaan pusat akan membenarkan sekolah Islam di wilayah selatan negara itu dikecualikan daripada keperluan pendidikan kebangsaan termasuk bahasa Thai.

Pemberontak BRN telah mendesak supaya diberi pengiktirafan rasmi terhadap budaya dan nilai Melayu Patani. Bagi mereka, negara Thai menimbulkan ancaman yang wujud; perjuangan mereka adalah berhubung pemeliharaan budaya.

Kerajaan sudah sekian lama kecewa dengan orang Melayu Patani kerana hanya mereka kumpulan minoriti di Thailand yang menentang asimilasi.
Malah, orang Melayu Patani percaya bahawa budaya Thai mempunyai pengaruh yang merosakkan dan mengancam nilai-nilai Shafii tradisional dan konservatif mereka.

Satu lagi isu keutamaan BRN ialah perlindungan ekonomi agraria tradisional di wilayah itu. Sebahagian besar BRN menolak projek-projek pembangunan berskala besar termasuklah pembinaan zon-zon perindustrian.

Kerajaan percaya kurangnya pembangunan menjadi punca berlakunya kekacauan manakala BRN pula percaya bahawa program pembangunan ekonomi Thailand mengancam cara hidup tradisional Melayu Patani, dan program pembangunan sedemikian akan hanya memberi manfaat kepada penduduk Thai.

Kerajaan Thailand berang

Kerajaan Thailand lebih berang semasa rundingan yang terbaharu ini.

Dalam satu kenyataan yang diterbitkan dalam Bangkok Post, kerajaan Thailand berkata "Rangka kerja yang dicadangkan adalah termasuk mengurangkan keganasan, penyertaan politik, dan mekanisme perbincangan di wilayah [Selatan Thailand]."

Kerajaan Thailand sentiasa menjadikan berhentinya keganasan sebagai syarat untuk mengadakan perbincangan, sama ada untuk menunjukkan muhibah dan komitmen terhadap keamanan serta menunjukkan perintah dan kawalan BRN terhadap militan mereka.

Seperti mana yang diketahui, pada perbincangan minggu lalu di ibu negara Malaysia, tiada seorang pun wakil sayap tentera BRN dalam panel tujuh ahli mereka.

Kenyataan Thailand tidak menyebut secara khusus mengenai bahasa, identiti Patani, atau pemeliharaan ekonomi tradisional.

Dan, dengan keganasan pula berada pada tahap rendah, kerajaan Thailand tidak berada di bawah tekanan untuk membuat sebarang kompromi.

Kerajaan akan menggesa supaya diteruskan dasar politik, ekonomi dan keselamatan yang sedia ada di Selatan Thailand. Mungkin terdapat sedikit ruang untuk menambah baik mekanisme bagi menyelesaikan pertikaian; ini jelas ketara demi kepentingan Thailand.

Budaya bebas daripada hukuman

Walaupun terdapat perbezaan, menyambung semula rundingan itu perlulah dilihat secara positif. Tetapi, perkara yang menjengkelkan masih ada.

Satu daripada rungutan utama penduduk Patani dan BRN adalah budaya bebas daripada hukuman bagi pasukan keselamatan.

Di bawah dekri darurat 2005 yang masih berkuat kuasa di majoriti wilayah Selatan Thailand, kakitangan keselamatan kerajaan menikmati imuniti yang hampir menyeluruh untuk tindakan mereka.

Mereka jarang didakwa kerana melakukan salah laku, yang selalu membawa kepada dakwaan penggunaan kekerasan yang berlebihan dan pencabulan hak asasi manusia.

Kekebalan telah diketepikan hanya beberapa kali sahaja sejak konflik itu kembali tercetus pada 18 tahun lalu. Terdapat sabitan terhadap anggota pasukan keselamatan tetapi tidak ada satu pun yang dikekalkan selepas rayuan dibuat.

Apa yang lebih lazim ialah apabila berlaku sesuatu kejadian, siasatan akan dijalankan. Tetapi, selepas kejadian itu tidak lagi di ingatan, pertuduhan digugurkan.

Minggu lalu, tiga pegawai polis didakwa dengan cubaan membunuh apabila mereka melepaskan tembakan ke arah trak yang membawa lima remaja Muslim setelah ia tidak berhenti ketika melalui pusat pemeriksaan, sehingga menyebabkan dua orang cedera. Pegawai polis itu tidak berpakaian seragam dan remaja berkenaan pula percaya bahawa polis itu adalah militan.

Keputusan pantas kerajaan untuk mendakwa mereka adalah dialu-alukan. Namun, tidak mungkin pegawai itu akan didakwa.

Selepas semakan kes dilakukan, dan selepas melalui tempoh yang mencukupi, pertuduhan terhadap ketiga-tiga mereka mungkin digugurkan.

Tetapi dalam insiden yang lebih menyakitkan hati, Jabatan Siasatan Khas pada minggu lalu menamatkan siasatannya tanpa memfailkan pertuduhan bagi insiden yang berlaku pada Julai 2019, apabila seorang suspek militan yang dalam tahanan tentera, Abdullah Esomuso, dikejarkan ke hospital setelah tidak sedarkan diri.

Gambar menunjukkan lelaki berusia 34 tahun itu berada dalam keadaan sihat ketika disoal siasat. CCTV di dalam selnya pula didakwa tidak berfungsi.

Malam itu, dia dikejarkan ke hospital kerana mengalami keadaan yang konsisten dengan kekurangan oksigen. Dia koma dan meninggal dunia pada bulan berikutnya. Bedah siasat yang dijalankan kerajaan tidak menemui sebarang tanda penyeksaan.

Menamatkan budaya bebas daripada hukuman di Thailand akan banyak membantu membina muhibah dalam kalangan orang awam.

Tetapi, itu adalah satu lagi isu di mana kedua-dua pihak kekal tidak sekata dalam rundingan damai selatan.

Zachary Abuza ialah profesor di National War College dan professor adjung di Georgetown University di Washington. Pendapat yang dinyatakan di sini adalah pendapatnya sendiri dan tidak mewakili pendirian Jabatan Pertahanan AS, National War College, Georgetown University atau BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh