Video Saat-Saat Terakhir Pejuang Pemisah Di Selatan Thailand Tular

Kedua-dua lelaki dilihat berbual dengan saudara mara beberapa jam sebelum pasukan keselamatan menembak mereka.
Komentar oleh Don Pathan
Krong Pinang, Yala, Thailand
2021-05-14
Share
Video Saat-Saat Terakhir Pejuang Pemisah Di Selatan Thailand Tular Dalam foto ini, yang diambil pada 7 Mei 2021, kelihatan banyak kesan tembakan pada dinding sebuah rumah di Kampung Krong Pinang, Yala di mana dua pejuang pemisah menghabiskan beberapa jam terakhir hayat mereka sebelum terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan tiga hari sebelum itu.
[Don Pathan/BenarNews]

Masa semakin suntuk bagi dua pejuang pemisah, dan mereka menyedarinya.

Puluhan peluru menembusi dinding zink rumah yang didiami kedua-dua lelaki pada saat-saat terakhir hayat mereka.

Puluhan anggota pasukan keselamatan Thailand mengepung rumah itu selepas kedua-dua lelaki menembak mati Nopparit Sukson, 27, yang merupakan anggota renjer tentera dari utara Thailand. Mayatnya terkujur kaku hanya beberapa meter dari lereng rimba di pinggir kampung itu, yang terletak kira-kira 45 minit di selatan bandar Yala.

Seorang imam telah dipanggil untuk memujuk kedua-dua lelaki agar menyerah diri selepas pejuang pemisah ketiga berbuat demikian. Sejurus kemudian, siaran media tentera memetik beliau sebagai berkata dua bekas rakannya itu pernah terlibat dengan dadah.

Kedua-dua lelaki yang bersembunyi di dalam rumah itu membuat keputusan untuk tidak menyerah diri. Sebaliknya, mereka mula membuat panggilan video.

Sambil berbual santai, mereka menyoal rakan dan ahli keluarga mengenai apa yang dilakukan hari itu, seolah-olah ia adalah perbualan biasa dan bukannya panggilan perpisahan. Itulah yang diperkatakan oleh beberapa orang yang telah berbual dengan kedua-dua lelaki yang terbunuh ketika bertempur dengan pasukan keselamatan Thailand pada 4 Mei.

Ilyas Wo'ka, 32, dan Ridwan Cheksoh, 31, juga memohon maaf iaitu falsafah penting dalam ajaran Islam dan menjadi amalan dalam kalangan keluarga dan rakan taulan terutama semasa Ramadan, yang menyaksikan umat Islam berpuasa dari subuh hingga senja.

Mereka memberitahu semua insan yang dihubungi agar tidak bimbang jika pihak berkuasa mengesan panggilan itu kerana mereka akan memastikan telefon dan kad SIM dimusnahkan.

Namun seseorang mula merakam satu daripada panggilan itu di telefon bimbit lain. Tidak lama kemudian, rakaman panggilan video kedua-dua lelaki menjadi tular di media sosial - walaupun tanpa iringan suara.

Versi yang berlainan turut berleluasa dengan iringan muzik latar serta kapsyen seperti "senyuman terakhir pejuang syahid" dan pesanan terakhir mereka yang kononnya menyeru "penduduk Patani" untuk terus berjuang menentang "penjajah Siam."

Dalam rakaman itu, kedua-dua lelaki – seorang daripadanya memegang AK47 - kelihatan amat tenang, tersenyum dan ketawa, menampilkan sisi pejuang dalam buruan sehingga mampu menyentuh hati sesetengah penonton.

"Bukan mudah bagi mereka yang memilih untuk menjulang senjata, mengikuti laluan ini dengan mengambil kira kesukaran yang dialami, hidup sentiasa diburu dan mungkin dipenjarakan atau berakhir dengan kematian," demikian disuarakan Nualnoi Thammasathien, seorang wartawan di Pattani, selepas menonton rakaman video itu.

Setelah dikepung selama tiga jam, dua lelaki berkenaan ditembak mati ketika mereka cuba melarikan diri ke arah bukit yang menuju ke kawasan hutan.

Masyarakat tempatan menganggap kematian mereka sebagai syahid dan mengebumikan mereka umpama insan yang syahid.

 

Penduduk tempatan menziarahi pusara Ilyas Wo'ka, 7 Mei 2021. [Don Pathan/ BenarNews)
Penduduk tempatan menziarahi pusara Ilyas Wo'ka, 7 Mei 2021. [Don Pathan/ BenarNews)

Paparan rakaman video itu telah membangkitkan emosi dalam  kalangan penduduk Melayu tempatan di wilayah Selatan Thailand yang bergolak di mana lebih 7,000 orang terbunuh akibat keganasan berkaitan pemberontakan sejak Januari 2004 apabila generasi baharu pejuang pemisah muncul mengambil alih peranan yang ditinggalkan lebih sedekad lalu oleh generasi sebelum itu.

Ratusan ribu baht disumbangkan kepada keluarga kedua-dua lelaki dalam tempoh tiga hari pertama selepas pengebumian mereka, kata warga tua dan saudara mara di kampung itu. Purata hampir 1,000 orang sehari mengunjungi kediaman keluarga lelaki berkenaan untuk menyampaikan takziah mereka. Rumah di mana kedua-dua lelaki dikepung dan ditembak turut dikunjungi ramai.

"Menunjukkan sokongan moral kepada pejuang yang dibunuh oleh pasukan keselamatan bukanlah sesuatu yang baharu," kata Sukriffee Lateh, Presiden PerMAS (Persekutuan Pelajar dan Pemuda Patani). "Panggilan video ini yang tersebar luas dalam kalangan umum telah membangkitkan rasa simpati dan mendapat sokongan daripada penduduk tempatan."

Penduduk tempatan tidak lagi takut untuk menunjukkan perasaan mereka, kata Sukriffee, yang mengetuai sekumpulan 15 pelajar kolej meninjau lokasi kejadian dan menziarahi keluarga kedua-dua lelaki yang terbunuh.

Rakaman video itu dan limpahan sokongan secara terbuka mengejutkan para pegawai keselamatan yang ingin tahu sama ada kedua-dua pejuang sengaja mahu menjadikan kematian mereka sebagai bahan publisiti, dan sama ada ia akan menjadi permulaan yang baharu dalam konflik itu.

Sementara itu, penduduk tempatan berang apabila ISOC-4 iaitu pemerintah tentera wilayah tersebut mengaitkan kedua-dua pejuang yang terbunuh dengan pembunuhan kejam tiga ahli keluarga penganut Buddha di daerah Sai Buri dalam wilayah Patani pada 28 April lalu. Siaran media ISOC-4 tidak menyatakan sebarang bukti dan kedua-dua lelaki juga tidak disenaraikan di dalam waran tangkap berkaitan kejadian itu, kata penduduk tempatan.

Sumber enggan menyatakan sejak bila kedua-dua lelaki menjadi ahli Barisan Revolusi Nasional (BRN) iaitu kumpulan pejuang pemisah bersenjata terbesar di wilayah sempadan Selatan Thailand.

Kedua-dua lelaki telah menjadi buruan sejak kira-kira dua tahun lepas tetapi sering menyusup pulang ke rumah keluarga mereka.

Ilyas pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah semasa remaja serta meringkuk dalam penjara ketika berusia awal 20-an, dan selepas dibebaskan, dia berhasrat mendalami kehidupan masyarakat dan keadaan di wilayah itu, kata rakan serta ahli keluarganya. Dia meningalkan seorang isteri serta tiga anak berusia lapan, lima dan tiga tahun.

Ridwan pula adalah guru di sebuah tadika tempatan, iaitu kelas mingguan yang mendidik kanak-kanak tentang Islam dan identiti Melayu. Dia masih bujang dan cuba menghubungi bapanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Sepupu perempuannya yang lebih muda telah menjawab panggilan tersebut dan menjadi histeria apabila menyedari keadaan yang sedang dialami Ridwan ketika itu.

Rakaman detik-detik terakhir mereka tular dan menjadi tontonan ramai di Selatan Thailand, yang penduduknya berbahasa Melayu. Menurut jurucakap rasmi BRN, yang mengeluarkan kenyataan video YouTube sekali atau dua kali setahun, rakaman itu telah mencatatkan kadar tontonan yang amat tinggi  dan belum pernah dicapainya selama hampir dua dekad.

"Pesanan kepada Orang Melayu adalah jelas; terus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan," kata Asmadee Bueheng, ahli eksekutif The Patani iaitu kumpulan bertindak politik tempatan yang memperjuangkan hak menentukan nasib sendiri bagi penduduk di wilayah itu.

"Inilah cabaran bagi kumpulan aktivis politik masa kini yang ingin menyaksikan penyelesaian politik dengan Thailand dilakukan menerusi kaedah bukan ketenteraan," kata Asmadee.

Rundingan damai berikutnya antara kerajaan Thailand dan BRN telah dijadualkan pada akhir Mei.

Bagaimanapun, pada 4 Mei iaitu hari yang sama kejadian di Krong Pinang berlaku, fasilitator Malaysia Abdul Rahim Noor menyatakan bahawa kedua-dua pihak tidak sepakat sama ada rundingan berikutnya perlu diadakan secara bersemuka atau maya. Sehubungan itu, mesyuarat tersebut akan ditangguhkan, katanya.

Sementara itu, penyebaran video tidak rasmi daripada petugas barisan hadapan menyaksikan reaksi yang tidak dijangka terhadap apa yang sepatutnya menjadi satu lagi pembunuhan dalam konflik pemisah tahap rendah yang berlaku saban tahun.

Don Pathan ialah penganalisis keselamatan di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini merupakan pendapat penulis dan bukannya daripada BenarNews.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh