Projek terbengkalai China bimbangkan pelabur zon ekonomi baharu Malaysia-Singapura

Penganalisis memberi amaran bahawa projek perumahan mega yang bermasalah di Forest City, Johor boleh menakutkan pelabur.
Iman Muttaqin Yusof
2025.01.14
Kuala Lumpur
Projek terbengkalai China bimbangkan pelabur zon ekonomi baharu Malaysia-Singapura Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kanan) berjalan bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dengan latar belakang Masjid Putra pada upacara sambutan rasmi sebelum mereka mengadakan mesyuarat dua hala di Putrajaya, 7 Januari 2025.
[Vincent Thian/Pool/AFP]

Ketika tumpuan diberikan kepada zon perdagangan bebas yang dilancarkan oleh Malaysia dan Singapura pada minggu lalu, beberapa pemerhati menimbulkan persoalan tentang jangkaan pelabur-pelabur dapat membawa masuk dana mereka memandangkan terdapat projek perumahan mega disokong oleh China yang bermasalah di kawasan sama.

Malaysia dan Singapura memeterai Perjanjian Zon Ekonomi Istimewa Johor-Singapura (JS-SEZ) pada minggu lalu, dengan pemimpin kedua-dua negara berkata ia adalah untuk merangsang ekonomi negara jiran itu dengan insentif cukai kepada pelabur, mempercepatkan kelulusan perniagaan dan fokus pada industri berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan dan tenaga diperbaharui.

“Adalah jarang dapat melihat dua negara bekerjasama sebagai satu pasukan untuk mempromosikan pertumbuhan ekonomi bersama dan menarik pelaburan," kata Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong, dalam satu kenyataan bersama pada 7 Januari.

Namun, penganalisis yang ditemubual oleh BenarNews memberi amaran bahawa projek Forest City bernilai AS$100 bilion yang terbengkalai, mungkin menakutkan pelaburan asing ke JS-SEZ.

Bermula di negeri Johor, Malaysia, dibangunkan oleh salah satu pemaju terbesar China 12 tahun lalu, projek perumahan mega yang bercita-cita tinggi itu gagal mencapai matlamat yang diinginkan dan kini menjadi pengajaran buat semua dan sentiasa diingati.

“Projek Forest City yang bermasalah memang boleh membayangi potensi JS-SEZ untuk menarik pelabur,” kata Michael Warren, pengasas Consulting Board Asia, sebuah kumpulan perunding perniagaan.

“Pelabur mungkin berasa sangsi terhadap isu-isu melibatkan Forest City sekali gus mengaitkannya dengan risiko yang sama dalam JS-SEZ.”

JS-SEZ merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang dan Desaru, dengan keluasan tanah 357,128 hektar.

Peranan China dalam zon perdagangan bebas baharu ini adalah "penting sebagai sumber pelaburan," tetapi Warren turut memberi amaran bahawa ia membawa risiko yang berkaitan ketegangan geopolitik dan kebergantungan kepada satu pelabur sahaja, kata beliau kepada BenarNews.

Gajah putih

Dilancarkan pada 2013, Forest City menjanjikan sebuah bandar futuristik dengan kondominium mewah, pusat beli-belah dan kemudahan canggih.

Ia dirancang untuk menampung 700,000 penduduk dalam menara pangsapuri tepi laut di atas empat pulau buatan manusia seluas 30 kilometer persegi (11.6 batu persegi) antara Malaysia dan Singapura.

Berdasarkan sejarah, Johor mempunyai hubungan ekonomi yang rapat dengan Singapura dengan ramai penduduknya bekerja di negara jiran itu dan berulang-alik setiap hari merentasi sempadan – Selat Johor.

MY-SG-SEZ-analysis 2.JPG

Suasana lengang dengan kedai-kedai yang ditutup di sebuah pusat membeli-belah di Forest City yang dibangunkan oleh Country Garden di Johor Bahru, Johor, 16 Ogos 2023. [Edgar Su/Reuters]

Projek Forest City itu digembar-gemburkan mampu mencipta 220,000 pekerjaan dan menyumbang kira-kira RM200 bilion (AS$47.6 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2035.

Bagaimanapun, dengan keadaan kondominium kosong, pusat beli-belah yang lengang dan jalan-jalan yang sunyi, Forest City mendapat jolokan negatif apabila ia dianggap sebagai projek “gajah putih”.

Sebagai langkah menghidupkan kembali projek itu, kerajaan Malaysia menawarkan insentif pelepasan cukai dan pengurangan kadar cukai pendapatan untuk menarik pelabur asing tetapi penganalisis tetap berbelah bahagi mengenai potensinya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di rantau itu.

“Salah satu pengajaran penting daripada Forest City adalah kepentingan menyelaraskan projek pembangunan dengan permintaan pasaran dan asas ekonomi,” kata Chan Wei Khjan, penasihat utama untuk SEZ di YYC Group, sebuah firma perunding kewangan.

Kegagalan Forest City berpunca daripada kebergantungan yang berlebihan kepada hartanah tanpa ekosistem sokongan, kata seorang pegawai Johor.

“Semua orang belajar daripada Forest City,” kata Exco kerajaan negeri Johor, Lee Ting Han kepada BenarNews.

“JS-SEZ tidak boleh dibangunkan sebagai sekadar projek perumahan atau komersial, sebaliknya ia perlu mencipta pekerjaan, mewujudkan pembangunan industri dan populasi di kawasan itu, bukan hanya menjual hartanah.”


LAPORAN  BERKAITAN

Penganalisis: Malaysia cuba selamatkan Forest City dengan lancar Zon Kewangan

Forest City: Lima akta berkaitan kastam dan percukaian diluluskan Dewan Rakyat

Nilai projek hartanah syarikat China di Malaysia merosot


Penasihat dasar awam Adib Zalkapli berkata zon perdagangan bebas baharu itu akan mengambil masa untuk membina “persekitaran perniagaan yang benar-benar lancar” di rantau ini.

Walaupun terdapat kebimbangan tersebut, pegawai kerajaan menjangkakan JS-SEZ – yang terletak di selatan Johor berhampiran sempadan Singapura – akan mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh lima tahun dan menyumbang AS$4.3 bilion setahun kepada ekonomi Malaysia.

Pelaburan China

Syarikat-syarikat China mengetuai pelaburan asing di JS-SEZ, kata penganalisis pasaran.

Pada Jun tahun lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memperkenalkan zon itu kepada lebih 100 syarikat China dalam lawatan beliau ke Beijing dengan mendapat tarikan perhatian yang tinggi.

“Kami bukan sekadar melihat dari segi minat, kami juga melihat komitmen yang konkrit,” kata Kohe Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif M Kapital Consulting, sebuah firma penasihat perniagaan strategik yang memberi tumpuan kepada Asia Tenggara.

Beliau merujuk kepada Tianma Precision Machinery yang berpangkalan di Zhejiang, yang baru-baru ini menjanjikan suntikan pelaburan sejumlah AS$100 juta untuk membina kemudahan pembuatan di Johor.

“Rantau ini menyediakan ketersambungan yang lancar dengan infrastruktur kewangan, peraturan dan logistik Singapura manakala Johor menawarkan kecekapan kos,” kata Kohe.

Baru-baru ini, Johor merekodkan pelaburan RM43 bilion (AS$ 9.55 bilion) dengan RM21.5 bilion (AS$ 4.78 bilion) datang dari negara seperti China, Singapura dan Korea Selatan, katanya.

“Dengan SEZ yang kini dimuktamadkan, kami menjangka lebih banyak firma China akan membuka operasi mereka di Johor,” kata Samuel Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Olive Tree Property Consultants, sebuah firma perunding hartanah.

BenarNews telah meminta data daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar dan Invest Johor mengenai bilangan syarikat China yang merancang untuk melabur di kawasan tersebut, tetapi tidak menerima sebarang maklum balas segera.

MY-SG-SEZ-analysis 3.jpg

Seorang pegawai polis trafik mengarahkan kenderaan sementara mereka membentuk barisan panjang menuju ke Pos Pemeriksaan Woodlands di Singapura pada awal pagi, sebelum melintasi jambatan ke negeri Johor di selatan Malaysia, pada 1 April 2022. [Roslan Rahman/AFP]

Pelancaran JS-SEZ dilakukan ketika rantaian bekalan global berubah, didorong oleh perang dagang AS-China.

Pengeluar China mengamalkan strategi “China Plus One” untuk mempelbagaikan operasi di seluruh Asia Tenggara dan mengelakkan tarif.

“Pembukaan kemudahan pembuatan di luar negara membolehkan barangan China mengakses pasaran yang dikenakan sekatan melalui negara ketiga,” kata Ahmad Mohsein Azman, seorang penganalisis di BowerGroupAsia, sebuah firma penasihat perniagaan.

Namun, Kohe berkata zon perdagangan bebas itu tidak bergantung pada pelaburan dari China semata-mata.

“Selain China, JS-SEZ juga menarik minat global daripada syarikat multinasional, ekuiti swasta dan modal teroka, dengan fokus kepada pembuatan maju, perkhidmatan digital, dan kemampanan untuk mempelbagaikan pelaburan,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.