Pengaruh politik Najib Razak terus meningkat
2024.12.20

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak yang dipenjarakan atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sejak 2022 kerana penglibatannya dalam skandal bernilai berbilion ringgit 1MDB – kembali menjadi tajuk utama.
Sepanjang tahun lalu, beliau berjaya mengurangkan hukuman jenayahnya dan mengukuhkan imejnya sebagai seorang 'pejuang' sehingga menarik minat penyokong politiknya.
Najib mampu menyatukan penyokong-penyokongnya ketika parti yang pernah beliau terajui, UMNO menampilkan beberapa kejayaan dalam pilihan raya kecil.
Meskipun disabitkan dengan kesalahan rasuah, bekas Ahli Parlimen Pekan itu kekal menjadi calon untuk kepimpinan negara.
Minggu ini, mahkamah Malaysia menggugurkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai terhadap isteri Najib, Rosmah Mansor, yang terkenal dengan koleksi kontroversi barang kemas dan pembelian beg mahal.
Terdapat dua perkembangan utama yang telah memberi kelebihan kepada Najib pada tahun ini.
Salah satunya ialah beliau mendapat pengampunan diraja apabila hukuman bagi sabitan kes SRC International, anak syarikat 1MDB telah dikurangkan separuh pada hujung Januari lalu.
“Diskaun” itu diperoleh melalui permohonan rayuan kepada lembaga pengampunan yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang.
Sebagai anak kepada perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein dan dengan jaringan hubungan politik yang luas sejak beliau mula menceburi politik ketika berusia 23 tahun, Najib telah lama menjadi sebahagian daripada elit politik Malaysia, termasuk dalam majlis diraja Pahang, negeri asalnya.
Pada April, titah tambahan membenarkan Najib menjalani baki hukuman di bawah perintah tahanan rumah telah dibangkitkan.
Najib gagal dalam usaha untuk mendapatkan pengesahan tentang kewujudkan titah adendum itu di mahkamah pada Julai lalu namun meneruskanya ke peringkat rayuan dengan keputusan dijangka dibuat pada Januari ini.
Terdapat tanda-tanda menunjukkan kemungkinan Najib akan dikenakan perintah tahanan rumah.
Pada Oktober, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 telah mengumumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbang untuk menggubal undang undang bagi membenarkan perintah tahanan rumah, yang dianggap memberi laluan kepada Najib menjalani enam tahun di rumah. Sehingga kini, Najib telah menjalani hukuman selama 28 bulan.
Najib turut 'meraih' kemenangan dari segi undang-undang apabila pada November lalu, mahkamah menggugurkan enam pertuduhan penyelewengan dalam satu lagi perbicaraan berkaitan 1MDB setelah pihak pendakwaan gagal menyediakan dokumen kepada pihak pembelaan.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengibarkan Jalur Gemilang ketika meninggalkan perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya, 31 Ogos 2024. [Vincent Thian/AP]
Daripada empat perbicaraan berkaitan 1MDB yang dihadapi Najib, beliau telah disabitkan kesalahan dalam satu kes manakala dua lagi telah digugurkan. Kini terdapat satu lagi kes utama berkaitan dana 1MDB yang masih berjalan.
Najib memulakan prosiding membela diri bagi kes penyelewengan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion dan pengubahan wang haram pada awal Disember.
Ironinya, proses pembelaan diri itu menjadi salah satu faktor mengukuhkan kedudukan Najib dalam kalangan penyokongnya.
Beliau sedang membina imej sebagai seorang 'pejuang' di mahkamah.
Peguam Najib mendakwa terdapat konspirasi yang diketuai oleh Amerika Syarikat untuk menjatuhkannya. Ini melanjutkan naratif “Robin Hood” di mana beliau mendakwa dana 1MDB diagihkan, bukan digunakan untuk kepentingan peribadi.
Peguamnya secara konsisten berhujah bahawa beliau menjadi sasaran dan walaupun Najib memohon maaf pada Oktober atas pengurusan dana 1MDB yang tidak betul, beliau tidak mengambil tanggungjawab terhadap kerugian berbilion ringgit yang kini perlu ditanggung pembayar cukai Malaysia.
BERITA BERKAITAN
Malaysia nafi Najib dapat manfaat selepas cadangkan RUU tahanan rumah
Hasrat Najib jalani tahanan rumah tidak kesampaian, mahkamah tolak permohonan
Saman: Rosmah Mansor dituntut pulangkan AS$346 juta milik 1MDB
Najib Razak: Lembaga Pengampunan kurangkan tempoh hukuman penjara dan denda
Sumber: Permohonan Najib Razak yang kini dipenjara ‘cabaran’ buat Lembaga Pengampunan
Imej Najib sebagai seorang 'pejuang' semakin ketara apabila dibuat perbandingan iaitu beliau terpaksa membela diri manakala Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan sekutu utama dalam kerajaan Anwar telah dibebaskan daripada semua pertuduhan rasuah yang dihadapinya sebelum ini.
Terbaru pada bulan ini, pihak pendakwa raya menarik balik rayuannya dalam kes terakhir membabitkan Zahid sekali gus membuka jalan bagi mahkamah membebaskan timbalan perdana menteri itu daripada pertuduhan rasuah berkaitan sistem visa asing.
Dalam UMNO, Najib kelihatan lebih popular di peringkat akar umbi berbanding Ahmad Zahid. Semakin Najib dilihat berjuang habis-habisan, semakin kuat penyokongnya merasakan bahawa tidak wujud keadilan.
Populariti Najib diperkukuhkan oleh nostalgia dalam partinya terhadap era ketika mereka memiliki kuasa yang dominan dalam kerajaan, naungan lebih meluas dan pertumbuhan ekonomi ketika pentadbirannya dilihat memberi manfaat kepada rakyat. Ramai yang merindui cara lama negara diuruskan.
Penyokong Najib Razak melaungkan slogan untuk menunjukkan sokongan kepada bekas perdana menteri itu di luar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 23 Ogos 2022. [Vincent Thian/AP]
Pandangan terhadap Najib telah terpecah dua. Di satu pihak, pengkritik tegarnya beranggapan bahawa Najib perlu menjalami hukuman penjara dan membayar cukai serta denda yang belum dilunaskan.
Namun penyokongnya dan pengundi yang tidak berpuas hati menganggap Najib boleh dikatakan lebih kuat berbanding setahun lalu.
Mereka yang berkuasa mempunyai alasan kukuh untuk bersikap berhati-hati terhadap populariti Najib. Malaysia mempunyai sejarah pemimpin yang dipenjarakan kembali berkuasa.
Ironinya, sejarah ini mungkin menjadi halangan utama kepada Najib kerana pemulihan popularitinya yang berterusan tidak mungkin menyediakan laluan jelas untuk beliau kembali berkuasa, sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek.
Seorang penyelidik bebas, Bridget Welsh merupakan rakan penyelidik kehormat di Institut Penyelidikan Asia Universiti Nottingham Malaysia di Kuala Lumpur dan Felo Bersekutu Kanan Pusat Habibie. Pandangan yang dinyatakan di sini merupakan buah fikiran beliau sendiri dan tidak mencerminkan pendirian Universiti Nottingham Malaysia, Pusat Habibie atau BenarNews.